AstraZeneca, syarikat farmaseutikal yang terkenal dengan vaksin COVID-19, dilaporkan telah menarik balik produk vaksinnya dari pasaran global, seperti yang dilaporkan oleh Telegraph.
Permohonan untuk menarik balik vaksin tersebut dibuat pada 5 Mac yang lalu dan berkuat kuasa pada 7 Mei. Selepas penarikan ‘kebenaran pemasaran’ secara sukarela tersebut, vaksin tersebut kini tidak lagi boleh digunakan di Kesatuan Eropah.
Permohonan yang sama akan diajukan di United Kingdom (UK) dan negara-negara lain yang sebelum ini meluluskan vaksin tersebut, yang lebih dikenali sebagai Vaxzevria.
AstraZeneca menjelaskan bahawa penarikan vaksin tersebut adalah atas sebab komersial. Menurut syarikat itu, vaksin tersebut tidak lagi dikeluarkan atau dibekalkan, dan vaksin terkini telah ada untuk menangani pelbagai varian baru yang muncul.
“Dengan wujudnya pelbagai jenis vaksin COVID-19, terdapat lebihan stok vaksin yang tersedia kini. Ini telah mengakibatkan penurunan permintaan untuk Vaxzevria yang kini tidak lagi dihasilkan atau dibekalkan. Oleh itu, AstraZeneca telah membuat keputusan untuk menarik balik kebenaran pemasaran di Eropah,” ujar syarikat tersebut.
AstraZeneca juga menegaskan bahawa penarikan vaksin tersebut tidak berkaitan dengan sebarang kes mahkamah yang sedang berlangsung atau isu baru-baru ini yang timbul.
Baca: Leka ‘hisap’ dadah di pejabat polis, empat pegawai kastam diheret ke mahkamah