Isu beras tempatan sudah menjadi isu global rata-rata di supermarket langsung tiada beras tempatan yang dikawal harganya oleh kerajaan.
Lambakan warga asing dalam negara boleh dikatakan mengundang kepada kekurangan beras tempatan, jadi tidak hairanlah beras tempatan turut dibeli oleh mereka yang mahukan subsidi.
Ketua Pemuda Umno, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyifatkan pekerja asing tidak mempunyai komitmen seperti rakyat Malaysia yang perlu membayar hutang pinjaman termasuk rumah dan kereta.
“Mereka (pekerja asing) tinggal rumah sewa ramai-ramai, makan secara berjemaah. Jika beras tempatan ini berlambak di pasaran tiada masalah, tetapi hari ini nak beli pun susah malah terpaksa berebut dengan mereka,”katanya.
Beliau mempertahankan cadangan beliau supaya beras tempatan dilarang dijual kepada warga asing.
Menurut beliau, cadangan ekoran kenaikan harga beras import tersebut tidak bersifat diskriminasi, sebaliknya tentang keutamaan yang perlu diberi kepada rakyat Malaysia.
“Ini bukan soal diskriminasi. Ini soal keutamaan perlu diberikan pada warganegara. Ketika beras tempatan berkurangan, seharusnya keutamaan diberi kepada warganegara sendiri.
“Betul pekerja asing pun bukan kaya raya, tetapi berbanding dengan komitmen mereka dengan rakyat Malaysia jauh berbeza,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, tauke besar hanya memikirkan keuntungan dan paling penting barang mereka habis dijual kepada sesiapa sahaja, tetapi pemimpin memikirkan masalah sebenar rakyat.
“Bukan satu penyelesaian yang panjang, tetapi sekurang-kurangnya boleh mengurangkan bebanan awal ketika krisis ini berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin yang menyifatkan ia sebagai satu mesej salah kerana mendiskriminasikan pekerja asing.
Beliau turut menyifatkan ia tidak praktikal kerana memerlukan pekerja kaunter menyemak kad pengenalan pelanggan selain gaji pekerja asing tidak besar dan mereka turut menyumbang kepada ekonomi negara.
Baca juga: Tuduhan fitnah oleh Mondy, Ebit Lew tampil buat laporan polis untuk ambil tindakan