Majoriti rakyat Malaysia mesti mempunyai aplikasi telegram kan. Banyak perkara manfaat yang boleh diambil dari aplikasi tersebut. Namun tidak kurang juga perkara negatif seperti bahan-bahan terlarang dan konten kontroversi yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan tertentu di dalamnya.
Semalam dunia dikejutakan dengan penahanan bos Telegram oleh pihak polis. Ramai yang tertanya-tanya apa yang CEO Pavel Durov buat sampai kena tahan ni?
Durov, yang mencipta Telegram bersama abangnya pada tahun 2013 di Rusia, telah lama menjadi pelarian dari tanah airnya sejak tahun 2014.
Selepas Rusia melancarkan perang ke atas Ukraine pada tahun 2022, Telegram jadi sumber utama kandungan tidak ditapis dan grafik yang merakam perang.
Platform ini digunakan secara meluas oleh pegawai-pegawai Rusia dan Ukraine, termasuk Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy.
Kata laporan Al-Jazeera, Durov yang merupakan seorang bilionair Franco-Rusia, dilaporkan sedang dalam perjalanan dari Azerbaijan menaiki jet peribadinya apabila waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Perancis mula dikuatkuasakan
Waran tersebut dikeluarkan sebahagian daripada siasatan awal oleh OFMIN, sebuah agensi penguatkuasa Perancis yang bertanggungjawab mencegah keganasan terhadap kanak-kanak.
Menurut sumber yang dipetik oleh agensi berita AFP, Durov didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk penipuan, pengedaran dadah, buli siber, dan jenayah terancang.
Selain itu, Durov juga dituduh gagal mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan Telegram yang membahayakan, terutama sekali terhadap kandungan yang berkaitan dengan keganasan dan jenayah.
Laporan dari media Perancis seperti TF1 TV dan BFM TV menyebut bahawa fokus utama siasatan tersebut adalah mencari jawapan Telegram tidak dipantau rapi sehingga memberi ruang kepada aktiviti jenayah untuk berlegar tanpa halangan.
Difahamkan bahawa Durov tahu mengenai waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya.
Seorang penyiasat memberitahu AFP bahawa mereka terkejut Durov masuk ke Perancis walaupun sudah mengetahui tentang waran tangkap yang dikeluarkan ke atas namanya.
Kedutaan Rusia di Perancis telah menuntut hak-hak CEO Telegram itu dijamin sepanjang beliau ditahan, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita negara Rusia, TASS.
Namun, kedutaan itu menyatakan bahawa Perancis setakat ini “mengelak” dari berkomunikasi mengenai situasi Durov.
Diplomat Rusia kini sedang berhubung dengan peguam Durov untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Telegram telah digambarkan oleh sesetengah penganalisis sebagai ‘medan perang maya’, dengan kedua-dua pihak menggunakan platform tersebut untuk propaganda dan komunikasi strategik.
sumber; “Berpuluh tahun ayah siakan aku dan ibu, tapi semuanya berubah bila ayah wasiatkan harta kat kami”