Kenapa Jarum Kompas Selalu Hala Arah Utara? Ini Sebabnya
Manusia pada hari ini tidak mempunyai masalah untuk menentukan arah dan kedudukan dengan adanya teknologi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).
Dengan menggunakan GPS, kita boleh mendapatkan maklumat koordinat atau alamat satu-satu lokasi dengan mudah.
Sebelum kemunculan GPS, manusia bergantung dengan teknologi kompas untuk menentukan arah ketika meneroka dunia ini.
Menurut National Geographic, saintis setakat ini tidak tahu dengan tepat sejak bila manusia berjaya menemui prinsipal kompas magnet.
Namun, mereka berpendapat China mungkin menjadi tamadun pertama yang mencipta kompas magnet yang boleh digunakan sebagai alat navigasi seawal abad ke-11 atau ke-12.
Manakala tamadun di Barat hanya mula mengikuti jejak langkah China menggunakan kompas magnetik sebagai alat navigasi pada penghujung abad ke-12.Bercakap tentang kompas, pernah tak anda terfikir, kenapa jarum kompas sentiasa menunjuk ke arah utara?
Sesebuah kompas magnetik akan mengandungi jarum magnetik di dalamnya yang berfungsi sebagai penunjuk arah.
Jarum magnetik ini akan berputar di dalam kompas tersebut sehinggalah kedudukan sejajar dengan medan magnetik Bumi.
Dalam posisi sejajar berkenaan, hujung jarum yang menghala ke atas akan menunjuk ke arah utara manakala hujung jarum yang menghala ke bawah akan menunjukkan arah selatan.
Bagi memudahkan pencerapan, biasanya jarum yang menghala ke arah utara akan ditanda dengan warna merah.
Jadi, alasan jarum kompas selalu menghala ke arah utara adalah kerana jarum yang magnetik yang digunakan akan berputar sehingga berada dalam kedudukan sejajar dengan medan magnetik Bumi.
Namun begitu, tahukah anda arah utara yang ditunjukkan dalam kompas sebenarnya bukanlah arah utara yang sebenar?
Kenali Utara Sebenar (utara geodetik) dan Utara Magnetik
Menurut portal Royal Museums Greenwich, Utara Sebenar ialah arah yang menghala terus ke arah Kutub Utara secara geografi. Ia merupakan titik tetap di glob Bumi.
Manakala Utara Magnetik ialah arah yang ditunjuk oleh jarum kompas semasa berada dalam kedudukan sejajar dengan medan magnet Bumi.
Apa yang lebih menarik, arah Utara Magnetik sentiasa berubah mengikut masa sebagai tindak balas kepada perubahan dalam teras magnet Bumi. Maka, disebabkan itu arah Utara Magnetik bukanlah menghala ke arah satu titip yang tetap.
Misalnya di Greenwich, London, arah Utara Magnetik sebenarnya menyisih sedikit ke Barat berbanding kedudukan arah Utara Sebenar selama beratus-ratus tahun.
Memandangkan arah Utara Magnetik sentiasa berubah, kedudukan kedua-dua arah Utara itu di Greenwich akhirnya bertemu buat kali pertama pada 2019, selepas lebih 360 tahun.
Selepas itu, arah Utara Magnetik di Greenwich menyisih semula ke arah Timur berbanding arah Utara Sebenar.
Bagaimana kompas digunakan untuk menavigasi?
Bagi pelayar di laut, salah satu perkara penting yang dilakukan semasa berlayar adalah mencari arah.
Hal ini disebabkan di lautan terbuka, tiada penunjuk seperti gunung atau bangunan yang boleh digunakan untuk membantu mencari arah.
Sebelum adanya kompas, pelaut menentukan arah berpandukan bintang dan Matahari di langit untuk tempoh ribuan tahun lamanya.
Di hemisfera utara, pelaut akan menggunakan Polaris iaitu bintang utara bagi menentukan arah ke utara dalam membantu mereka berlayar di lautan.
Bagaimanapun, dalam situasi ribut atau awan menutupi langit, pelayar-pelayar ini akan berdepan dengan masalah besar. Jadi, dengan adanya kompas magnetik, ia membantu pelayar-pelayar tersebut berlayar dengan lebih selamat.
Namun begitu, pelayar-pelayar yang menggunakan kompas sejak dahulu lagi menyedari bahawa arah utara yang ditunjukkan alat itu bukanlah menghala ke arah Utara Sebenar.
Apabila mereka membuat perbandingan dengan Polaris, mereka dapat mengesan arah utara yang ditunjukkan oleh kompas adalah sedikit berbeza.
Adakah kapal masih menggunakan kompas pada zaman kini?
Menurut portal Royal Museums Greenwich lagi, kapal moden menentukan arah dengan menggunakan teknologi GPS dan sistem satelit canggih yang lain. Apatah lagi, manusia kini sudah tahu arah utara yang ditunjukkan oleh kompas bukanlah arah Utara Sebenar.
Namun tidak dapat dinafikan, kompas masih merupakan alat menunjukkan arah yang penting dan ada fungsinya sehingga ke hari ini.