Patutlah mahal sangat, rupanya ini sebab kenapa harga air mineral jenama Evian terlampau mahal

Jenama air Evian kini mula hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia. RM4.50 untuk sebotol air mineral sudah tentu kedengaran sangat mahal.

Perdebatan ini berlaku setelah tular sebuah video yang dimuat naik oleh Perdana Menteri di laman Twitter miliknya. Di dalam video tersebut, kelihatan sebotol air berjenama Evian di atas meja.

Menurut ciapan di Twitter Perdana Menteri, mesyuarat khas tersebut memutuskan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 kepada RM8.90 sekilogram. Harga berkenaan ditetapkan dari tempoh 5 Feb hingga 5 Jun.

Salah seorang netizen menyatakan bahawa harga sebotol 1.5 liter air berjenama Evian hampir sama dengan 1kg ayam.

Manakala sebahagian netizen pula mempersoalkan mengapa air berjenama mahal dihidangkan dalam satu mesyuarat yang sedang membincangkan kos sara hidup rakyat yang kian tidak menentu.

Untuk pengetahuan anda, air Evian terkenal dengan harga yang tinggi dan kualiti yang baik. Ia adalah salah satu air minuman mahal yang boleh didapati pada harga RM4.50. Untuk sebotol air dengan harga hampir sepinggan nasi bujang sudah tentu terasa mahal, namun ada sebab mengapa air ini dikelaskan sebagai ‘air dari kayangan.’

Persoalan yang besar di sini adalah mengapa air ini begitu mahal? Padahal ia hanya sebotol air, sama saja seperti jenama-jenama air yang lain.

Pertama, memetik laporan Loan Street SG dan Yahoo News, jenama air Evian bukanlah jenama biasa. Ia sudah melabur banyak wang untuk memastikan bahawa jenama mereka mendapat pengiktirafan dari segi kesihatan dan brand awareness.

Jenama ini bukan sahaja melabur dalam pemasaran, namun dalam pelbagai acara, termasuk Terbuka AS dan Wimbledon. Reputasi dan kepercayaan yang diberikan oleh Evian menjadikan mereka air dengan kelas tersendiri.

Selain itu, jenama Evian datang dari wilayah tenggara Perancis yang dipanggil Rhone-Alpes. Jika anda di Perancis atau bahagian lain negara Eropah, air ini mungkin lebih murah daripada harga di Malaysia.

Namun untuk sampai ke negara-negara di Asia Tenggara, kos untuk mengedar jenama air Evian ini akan menjadi lebih mahal. Kos pemasaran yang dikeluarkan oleh Evian perlu berfungsi selari dengan pengedaran air tersebut. Jadi harga tinggi air Evian sedikit sebanyak meliputi kos pengedaran global.

Bagi production cost pula, Evian menggunakan botol dari bahan yang mudah dikitar semula. Menurut laman web mereka, Botol jenama Evian diperbuat daripada bahan yang dipanggil polyethylene terephthalate (PET), yang mempunyai proses pembuatan yang kompleks.

Untuk menghasilkan botol dengan kualiti 100% rPET bukanlah murah. Bahan itu sendiri mahal, dan ia juga memerlukan ujian yang meluas untuk memastikan bahawa botol itu selamat dan boleh dikitar semula. Semua ujian itu menambah kos keseluruhan botol.

Tambahan daripada itu, air yang dikeluarkan oleh Evian juga kaya dengan kalsium dan magnesium. Kalsium memastikan tulang anda kuat, peredaran jantung yang baik dan membantu untuk menurunkan berat badan.

Ia adalah sumber air semula jadi yang bukan sahaja bertujuan untuk menghilangkan dahaga, namun membantu tubuh anda menjadi lebih sihat.

Baca juga: “Dia cakap anak itu rezeki, tapi aku tengok anaknya makan telur sebiji pun berebut lapan orang”