Erin Honeycutt, yang berusia 38 tahun dan berasal dari Michigan, telah diiktiraf sebagai wanita pemilik janggut terpanjang di seluruh dunia.
Beliau telah menerima pengiktirafan daripada Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas berjaya memecahkan rekod dunia dengan memiliki janggut sepanjang 30 sentimeter (sm), selepas dua tahun menjaganya.
Rekod sebelum ini dipegang oleh Vivian Wheeler, yang berusia 75 tahun, dengan memiliki janggut sepanjang 25.5 cm.
Erin berkongsi bahawa pertumbuhan janggutnya berpunca daripada Sindrom Ovari Polikistik (PCOS) yang dialaminya.
Pertumbuhan ini bermula pada usia 13 tahun, dan dia telah mencuba pelbagai kaedah untuk mengatasi hal tersebut.
“Saya mungkin bercukur sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
“Saya buat ini sepanjang remaja sampai saya dewasa. Namun selepas saya mengalami masalah penglihatan, saya penat bercukur sebelum pasangan saya memberi galakan supaya saya membiarkan saja ia tumbuh,” katanya.
Selain PCOS, Erin juga menghidap necrotizing fasciitis pada kakinya, iaitu jangkitan bakteria yang jarang berlaku dan mengakibatkan kematian bahagian tisu lembut badan.
“Kaki saya mengalami gangren menyebabkan saya membuat keputusan untuk memotong bahagian bawah anggota badan.
“Namun, tekanan darah saya meningkat tinggi sehingga diserang strok mata dan menjejaskan sebahagian penglihatan saya,” katanya.
“Dengan sokongan pasangan saya (Jen), saya membuat keputusan untuk membiarkan janggut saya tumbuh semasa perintah berkurung di seluruh negara kerana Covid-19.
“Dengan penampilan itu, saya dapat membina lebih keyakinan diri,” katanya.
Erin mengakui malu dengan dirinya namun berbangga dengan pengiktirafan itu kerana sebelum ini ramai yang memandang serong terhadapnya.