Pegawai Bomba maut ketika bantu operasi padam kebakaran kilang di Johor

Seorang pegawai bomba yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu, di Segamat pada Sabtu, disahkan meninggal dunia.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata Allahyarham, PB Mohd Firdaus Sulaiman, 32, memghembuskan nafas terakhir pada jam 4.15 pagi tadi di Hospital Segamat.

Katanya jenazah kini masih berada di Hospital Segamat.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.
“Allahyarham sudah sepuluh tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba sejak 3 Disember 2012.

“Bersama-sama kita mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, PB Mohd Firdaus dan anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang, Mohamad Azuraini Mahrani, 40 cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba, Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52 melecur dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 5.15 pagi.

Katanya semasa operasi pemadaman, berlaku satu letupan di tingkat tiga bangunan kilang pada kira-kira 10 pagi yang menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.

Letupan menyebabkan Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini yang berada di tingkat tiga tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah.

Manakala Syed Putra yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala selepas terkena bahang letupan.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pegawai-bomba-terbabit-letupan-kebakaran-kilang-mohd-firdaus-meninggal-dunia-336038

COMMENTS