PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan mengadakan pengumuman khas petang ini dipercayai membabitkan kebenaran merentas negeri.
Seorang pegawai media di Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Ismail Sabri akan membuat satu pengumuman khas secara langsung menerusi televisyen jam 3 petang ini.
Bagaimanapun beliau tidak memperincikan butiran pengumuman khas tersebut.
Menurut portal COVIDNOW hari ini, hanya berbaki 0.3 peratus lagi sebelum kelonggaran perjalanan rentas negeri dapat dinikmati rakyat Malaysia selepas sekatan itu dikuatkuasakan sejak Mei lalu.
Ini berdasarkan kadar pemberian vaksin lengkap populasi dewasa di negara ini yang direkodkan di laman sesawang itu berada pada tahap 89.7 peratus setakat 11.59 malam tadi.
Peratusan lengkap vaksinasi itu membabitkan seramai 21,003,074 individu, selain populasi dewasa belum lengkap divaksinasi direkodkan sebanyak lima peratus atau 1,172,944 orang dan tiada vaksinasi (1,233,582 atau 5.3 peratus).
Kelonggaran perjalanan rentas negeri akan dinikmati orang ramai apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus, seperti diumumkan Perdana Menteri pada 22 September lalu.
Larangan perjalanan rentas negeri itu dikuatkuasakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi membendung penularan Covid-19, mulai 31 Mei lalu. – Malaysiapost
sumber : https://malaysiapost.com.my/2021/10/10/pm-umum-kebenaran-rentas-negeri-petang-ini/