Pegawai Polis Kelantan paksa ibu tunggal lakukan seks oral di Balai Polis

SEBELUM ini, seorang pegawai polis narkotik di Kota Bharu sudah direman empat hari.

Inspektor narkotik itu ditahan kerana disyaki merogol seorang ibu tunggal berusia 27 tahun yang juga suspek dalam kes yang disiasatnya.

Hari ini, reman ke atas inspektor itu dilanjutkan selama tiga hari lagi hingga Isnin.

Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, sebelum ini, pegawai cawangan narkotik berusia 29 tahun itu direman selama empat hari sejak Rabu lepas.

“Perintah (sambung reman) itu dikeluarkan hari ini oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kota Bharu Amni Johari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Wan Khairuddin berkata sambungan reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Sebelum ini dilaporkan pegawai polis berkenaan didakwa memaksa tahanan wanita itu, antara lain, melakukan seks oral di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Kota Bharu.

Kejadian itu didakwa berlaku pada 5 Jun lepas, ketika pegawai tersebut menjalankan siasatan ke atas tahanan wanita berusia 27 tahun berkenaan yang ditangkap bersama bekas suaminya berhubung kes dadah.

sumber : https://utusantv.com/2021/06/12/rogol-suspek-di-balai-reman-inspektor-narkotik-dilanjut/