Baru-baru ini, sebuah video yang tular di laman sosial memaparkan seorang anggota polis yang tidak sengaja melanggar kenderaan awam.
Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna laman X menunjukkan kejadian tersebut, direkodkan oleh dash cam pemilik kenderaan yang terlibat. Namun, lokasi dan tarikh sebenar kejadian tidak dapat dipastikan.
Dalam video itu, terlihat seorang anggota polis sedang menunggang jentera dual-sport Kawasaki KLX250 milik Polis Diraja Malaysia, kemungkinan dalam perjalanan menuju ke satu destinasi. Kenderaan lain memberikan ruang kepada polis tersebut ketika aliran trafik berjalan perlahan.
Namun, ketika anggota polis itu mengubah laluan, dia tidak sempat memberhentikan motosikalnya dan merempuh sebuah kereta lain. Rempuhan itu menyebabkan bahagian belakang kereta tersebut calar dan mengalami kerosakan. Anggota polis meminta mangsa untuk berhenti di tepi jalan selepas memohon maaf atas insiden tersebut.
Pasca-kejadian, ramai yang bertanya-tanya mengenai proses tuntutan ganti rugi sekiranya insiden serupa berlaku kepada orang lain.
Menurut penjelasan seorang peguam yang dikenali sebagai Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar, netizen tidak perlu panik jika terlibat dalam situasi sedemikian. Beliau menyatakan bahawa mangsa boleh membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dengan menyertakan bukti kerana kenderaan pasukan polis tidak dilindungi oleh insurans.
“Sekiranya berlaku kemalangan seperti itu, pemandu harus membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dengan menyertakan bahan bukti sekali. Ini kerana, bagi kenderaan yang dimiliki oleh pasukan polis, ia tidak dilindungi oleh insurans. Tetapi jangan risau, kerana anda boleh membuat tuntutan kepada kerajaan untuk mendapatkan pampasan,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan mempunyai kelebihan melalui Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, di mana mangsa yang terlibat dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan kerajaan hanya mempunyai tempoh tiga tahun untuk membawa kerajaan ke mahkamah.
baca: Kecoh van jenazah bergerak tanpa pemandu