Peguam Ambiga Sreenevasan antara individu tersenarai dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2024

Peguam Ambiga Sreenevasan antara individu tersenarai dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2024. Forbes 50 Over 50 yang menampilkan 50 wanita di seluruh Asia Pasifik yang membuktikan bahawa usia selepas 50 adalah era keemasan baharu.

Dua lagi yang tersenarai ialah pengarah eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, dan pengasas Current Pictures Tunku Mona Riza Tunku Khalid.

Menurut Forbes, wanita tersenarai berasal dari 14 negara dan wilayah membabitkan puluhan sektor pekerjaan.

Pengaruh mereka merangkumi fesyen, farmasi, kewangan dan sebagainya.

Sta Maria, 65, yang dilantik sebagai pengarah eksekutif Sekretariat APEC pada 2019 menjadi wanita pertama yang mengetuai badan penasihat ekonomi antara kerajaan dengan 21 anggota itu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua setiausaha, setiausaha agung dan perunding perdagangan utama untuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Sebelum ini, beliau juga pernah mewakili rantau ini di Forum Ekonomi Dunia dan menjadi pengarah bukan eksekutif sebuah bank.

Sementara itu, Sreenevasan, 67, peguam terkemuka Malaysia dan peguam bela hak asasi manusia pernah menerima Pingat Ruth Bader Ginsburg dan Anugerah Gandhi Memorial Trust Public Service.

Beliau yang berkelulusan ijazah undang-undang dari Universiti Exeter, United Kingdom, kini berkhidmat sebagai Presiden Pure Life Society, sebuah rumah kebajikan untuk anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

Tunku Mona Riza, 57, pula pernah memenangi anugerah Most Promising Director di Festival Filem Malaysia 2017 menerusi karyanya “Redha”.

Diilhamkan daripada kisah benar, filem itu menggambarkan cabaran membesarkan kanak-kanak autisme dan tercalon untuk Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke-89.

Filem yang dterbitkan pada tahun lalu “Rain Town” ialah filem berbahasa Cina pertama Malaysia yang diarahkan oleh pengarah wanita Melayu.

Turut tersenarai antaranya aktivis alam sekitar India berusia 112 tahun, Saalumarada Thimmakka yang sinonim dengan gelaran “mother of trees” dan pelakon Indonesia Christine Hakim.

Senarai penuh boleh didapati di Forbes.com dan menerusi edisi Februari/Mac Forbes Asia.

Baca juga: Pewaris jenama Ray-Ban jutawan termuda di dunia umur 19 tahun, miliki aset cecah RM18.87 bilion