Peguam Negara sahkan Muhyiddin masih PM yang sah

Muhyiddin kekal Perdana Menteri, kata Peguam Negara.

Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO bertarikh 7 Julai 2021, kenyataan tersebut merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk Kerajaan sedia ada yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Buat masa ini Kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa YAB Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.

Oleh itu, dari segi undang-undang, YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.