Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi memohon dipertimbangkan semula Proklamasi Darurat oleh kerajaan PN.
“Ya sudah dihantar petang tadi. Kami menyembah perkenan memohon budi bicara Tuanku untuk mempertimbang semula Proklamasi Darurat serta memaklumkan pada baginda beberapa cadangan lain yang boleh digunapakai dalam memerangi situasi Covid-19 tanpa darurat,” kata Timbalan Presiden Penaja Pejuang, Marzuki Yahya, ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan parti yang dipimpin bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu menyatakan kesediaan untuk menghantar warkah berkenaan.
Marzuki yang juga seorang senator berkata mereka bersetuju dengan langkah itu kerana daripada awal melihat perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah cukup untuk mengekang Covid-19.
Surat tersebut mewakili empat anggota parlimen Pejuang itu termasuk Mahathir (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).
Terdahulu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 14 Januari lalu menggesa wakil rakyat pembangkang menghantar warkah rayuan kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin.
Pakatan Harapan (PH) berpendapat darurat tidak perlu, antaranya kerana ia didakwa memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk “melakukan apa saja” selain didakwa menjejaskan proses semak-imbang dalam negara.
sumber: MK