“Pelajar dipaksa tidur dalam tandas”-Madrasah terkenal dibiayai ahli politik ‘kantoi’ tidak berdaftar?

Disepak terajang serta tidur didalam tandas merupakan antara ‘tradisi’ yang ditanamkan di dalam madrasah yang dikatakan dibiayai oleh seorang ahli politik terkenal dari Pantai Timur.

Turut mengecewakan, dana yang diterima dari sumbangan orang ramai yang kononnya untuk membina surau tidak pernah disiapkan hingga kini.

Difahamkan, kejadian pukul yang berlaku sejak lebih setahun lalu melibatkan tenaga pengajar kanan di madrasah tersebut yang telah ditahan oleh polis, baru-baru ini.

Madrasah yang terkenal dengan pelbagai program dakwah, yang melibatkan individu yang mengaku sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW, dilaporkan tidak menyediakan prasarana lengkap seperti pusat pengajian lain.

“Di sini ada lebih 40 penghuni berusia antara 10 hingga 17 tahun yang dihantar keluarga untuk belajar agama.

“Sebaliknya pula yang berlaku apabila pelajar dipukul tenaga pengajar sehingga cedera, malah lebih teruk ada yang menjadi mangsa gangguan seksual.

“Mangsa tidak berani buat laporan polis kerana bimbang dimarahi serta tiada pilihan, selain terus tinggal di situ kerana masalah keluarga.

“Ada yang memaklumkan kepada pelajar lain mengenai nasib mereka termasuk pelajar yang dipaksa tidur di tandas kerana buat salah. Ini tidak sepatutnya berlaku kepada institusi agama,” kata sumber yang membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sementara itu, seorang pengadu yang mahu dikenali sebagai Saiful, 30-an berkata, pemilik madrasah seluas 0.8 hektar itu dikatakan turut memiliki cawangan lain di negara ini dan Maghribi.

Dia mendakwa didatangi keluarga pelajar yang memaklumkan anak mereka dalam keadaan tidak berpuas hati serta pelbagai masalah yang timbul.

“Saya terkejut apabila mendapati pelajar di sini terpaksa menahan lapar kerana tidak diberikan makanan seperti sepatutnya.

“Malah, ketika lawatan seorang ustaz lain, saya dimaklumkan bahawa bacaan al-Quran pelajar di sini juga tidak tepat.

“Tidak cukup dengan itu, saya dimaklumkan pelajar ada rakan-rakan mereka dipukul ustaz di sini menyebabkan saya terpanggil membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya.

Maklum balas dari pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanyalah mereka akan menyemak pendaftaran sekolah ini.

Baca juga: “Dari kecik dibesarkan dengan mak yang biol, sampai kami kena halau dari kampung sebab berbau busuk”