Seorang pelajar mengakui tertekan apabila terpaksa berkongsi bilik dengan seorang pelajar yang kurang menjaga kebersihan dan menolak untuk membersihkan bilik dengan alasan mengalami depression atau pun kemurungan.
Menerusi satu hantaran viral di laman TikTok, pelajar tersebut telah memuat naik beberapa keping gambar sebagai bukti terhadap sikap pengotor rakan sebiliknya yang perlu dihadapi setiap hari.
“Agak-agaklah. Orang lain pun menghidap depresi juga tetapi tidaklah sampai begini, setahun tidak pernah kemas bilik.
“Kalau pengotor tu cakap sahaja pengotor. Daripada aku yang sudah boleh kawal depresi sendiri, jadi makin tertekan duduk dengan orang begini,” katanya dalam ruangan kapsyen.
Disebabkan keadaan itu, dia juga mengatakan kerap jatuh sakit dan juga mengalami tekanan emosi kerana tidak tahan dengan situasi tersebut.
“Kepada semua yang cakap sikap pengotor ini disebabkan depresi, tolonglah diam.
“Saya juga menghidap penyakit yang sama. Ada juga kawan-kawan lain yang juga alami depresi namun tidaklah seteruk ini,” katanya.
Dia juga mendakwa rakan sebiliknya masih mampu melakukan pelbagai aktiviti lain walaupun menghadapi masalah depresi.
“Mujurlah saya dapat tukar bilik. Selepas berhubung dengan pegawai, katanya pelajar tersebut tidak patut dapat bilik kerana setiap semester buat masalah sama,” katanya.
Melalui tinjauan ruangan komen di laman TikTok, dapat dilihat bahawa kebanyakan pengguna menyuarakan rasa jijik setelah melihat gambaran keadaan bilik yang dikongsikan oleh pengguna tersebut.
“Syukur, pemalas aku ini tak pernahlah sampai seteruk ini. Bukan susah pun, kemas sekali seminggu sahaja,” kata Nazura.
“Saya pernah juga tinggal dengan orang macam ini. Samalah dia cakap dia pun hidap depresi tapi kita pula yang tertekan tengok bilik bersepah,” kata Sya.