Pelajar langgar dua pemotong rumput hingga maut, mengaku tidak bersalah

Pelajar langgar dua pemotong rumput hingga maut, mengaku tidak bersalah. Kejadian berlaku di Jalan Pintasan Semeling dalam daerah Kuala Muda kira-kira pukul 11.10 pagi, 7 Mei lalu.

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua pemotong rumput pada 7 Mei lalu.

Memetik Kosmo, tertuduh yang memakai uniform sekolah dan diiringi ahli keluarga membuat pengakuan itu pada prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret, Noor Fazlina Musa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua lelaki Myanmar iaitu Siouca Chakma, 21, dan Akter Kamal Hosen, 33.

Pendakwaan ke atas pelajar itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Mahkamah menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan juga laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahazlinda Zahari.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Bapa tertuduh kemudian menjelaskan jaminan yang dikenakan.

Siasatan lanjut mendapati pelajar itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Baca Juga: Pelajar 16 tahun langgar pemotong rumput sehingga maut, ibu bapa dipanggil polis

Baca Juga: Kisah pemilik Ramly Burger seorang yang rendah diri