Pelajar patah gigi selepas cuba selamatkan diri daripada dipeluk lelaki bogel

Pelajar patah gigi selepas cuba selamatkan diri daripada dipeluk lelaki bogel. Pelajar perempuan berusia 19 tahun itu dipeluk lelaki bogel ketika berjalan sendirian di Jalan Batu Hijau.

Difahamkan dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu pada hari Ahad, mangsa mengalami patah gigi ketika bergelut dan menggigit suspek dalam usaha melepaskan diri.

Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang disyaki terlibat dalam kes cabul itu.

“Siasatan mendapati mangsa dipeluk dari arah belakang menyebabkan mangsa menjerit sebelum suspek melarikan diri ke arah semak berhampiran.

“Pada masa sama, seorang lelaki yang juga pelajar sebuah universiti berhampiran ternampak kejadian itu turut membantu mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa tidak dapat mengecam suspek berikutan keadaan sekeliling yang samar-samar.

“Pemeriksaan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan berhampiran dengan lokasi kejadian itu.

“Rondaan melibatkan unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan elemen daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah kerap dilakukan di tempat kejadian,” katanya.

Mohamad Nazri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau.

Pihak polis boleh mula membuat rondaan di kawasan kes seperti ini berlaku, bimbang lelaki tersebut yang masih bebas akan melakukan hal sama kepada wanita lain.

Baca Juga: Lelaki warga Myanmar gagal culik kanak-kanak usia 4 tahun, ditahan bapa mangsa dan orang awam

Baca Juga: Kes diselesai cara baik, Asyraf Wajdi setuju tarik balik tuduhan terhadap Mujahid