Seorang pelajar mendakwa dirinya terperangkap di dalam tempat penyimpanan barang sebuah bas ketika sedang mengambil barang.
Menurutnya yang berkongsi kejadian itu di laman X, kakinya juga terjulur keluar namun tubuhnya masih lagi di dalam perut kenderaan itu.
Dia yang menggunakan nama @shafiyyah_nurul berkongsi insiden itu baru baru ini setelah tiba dari selatan.
Kejadian tersebut berlaku pada 2 Jun lepas ketika dirinya baru sahaja tiba dari Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bharu dan ingin ke Terminal Bas Shah Alam, Seksyen 17.
“Ketika itu saya sudah tiba di Shah Alam dan ingin mengambil beg di tempat penyimpanan bawah bas.
“Tiba-tiba pintu tertutup sementara tubuh saya masih di dalam, namun kaki di luar. Bayangkan sebaik sahaja pemandu menutup pintu, bas terus bergerak dan jari kaki saya terseret di jalan tar,” ceritanya.
Dia turut menambah, walaupun sudah mencuba meminta pertolongan namun tiada siapa yang perasan akan kehilangannya.
Kejadian yang berlaku terlalu pantas namun dia juga sempat menghubungi kedua ibu bapanya untuk meminta pertolongan sebelum pemandu bas menyedari kejadian terbabit.
Selepas 5 minit kenderaan bergerak, pemandu bas mula menyedari dan berhenti di bahu jalan sebelum memarahi pelajar tersebut kerana tidak meminta pertolongan untuk mengambil barang miliknya.
“Saya hanya mampu menangis dan meraung tanpa melawan kata-kata pemandu bas tersebut.
“Kemudian, pemandu itu membawa saya ke klinik selepas menghantar penumpang lain di Klang,” katanya.
Setelah insiden itu berlaku, pelajar tersebut membuat laporan polis dan mula bertanyakan andai ada pampasan yang dapat dituntut susulan kejadian yang berlaku atas kecuaian pemandu bas tersebut.
Baca juga: Melopong tengok harga roti Gardenia tahun 2003, netizen kata “penemuan bersejarah”