Pelakon veteran terkenal, Datuk Baharuddin meninggal dunia

Bintang veteran, Datuk Baharuddin Omar, 85, menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang ini.

Berita pemergiannya pelakon yang dikenali dengan watak Anjang Aki itu disahkan oleh isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar kepada BH Online.

Nazariah, 66, berkata, arwah suami meninggal dunia bukan disebabkan pandemik COVID-19, sebaliknya arwah menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.

“Arwah baru selesai makan dan kemudiannya, masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik.

“Selepas itu, arwah tidak sedarkan diri. Saya dan dua anak berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Alhamdulillah, arwah pergi dengan tenang dan mudah. Kemudiannya, saya menghubungi anak-anak memaklumkan berita pemergian arwah,” katanya kepada BH Online.

Nazariah berkata, seorang cucu yang bertugas sebagai doktor di Klang bergegas pulang ke rumah dan menjalankan ujian calitan COVID-19 pada arwah.

“Cucu mengesahkan arwah bukan meninggal dunia disebabkan pandemik COVID-19,” kata Nazariah.

Beliau berkata, arwah suami tidak mempunyai sebarang penyakit lain, selain penyakit pembuluh darah bengkak. Malah, keputusan pemeriksaan yang dilakukan pada Rabu lalu menunjukkan arwah tidak mempunyai penyakit berbahaya seperti kencing manis, kolesterol mahupun buah pinggang.

“Arwah sihat, boleh bergerak seperti biasa. Cuma, beliau banyak terperap di rumah akibat COVID-19. Keadaannya juga seperti tertekan.

“Biasalah jiwa anak seni, beliau biasa bergerak aktif. Jadi, apabila tidak dapat keluar rumah bertemu rakan, kita boleh nampak arwah seperti tertekan.

“Arwah baru sahaja menyambut ulang tahun ke-85 pada 12 Julai lalu. Beliau tidak menunjukkan tanda akan pergi, cuma nampak sedih, pagi tadi.

“Ini disebabkan salah seorang adiknya sedang dirawat di hospital di Klang, keadaannya tidak begitu baik,” katanya.

Nazariah berkata, arwah sedih apabila mendapat tahu seorang demi seorang teman seperjuangannya meninggal dunia.

“Semalam, arwah Tawil pergi. Sebelum ini, arwah Datuk Jamali Shadat. Mereka adalah rakan seperjuangannya,” kata Nazariah.

Sebelum ini, Allahyarham Baharuddin pernah dimasukkan ke Hospital Shah Alam, tiga tahun lalu selepas terjatuh dalam bilik air dan mengalami kecederaan pada kepala. Menerusi ujian skop dijalankan mendapati terdapat bengkak pada bahagian esofagus.

Bagaimanapun, disebabkan faktor usia, pembedahan tidak dapat dijalankan. Allahyarham hanya perlu bergantung dengan ubat-ubatan.

Pelakon kelahiran Kuang, Selangor itu memulakan kerjaya dalam dunia lakonan menerusi drama Tanah Pusaka pada 1967. Selain itu, beliau juga pernah membintangi drama Perajurit Pulang (1968) dan Bangsawan (1970).

Namun, namanya meninggalkan kesan menerusi drama bersiri, Anjang Aki arahan Aziz Abbas terbitan dan siaran RTM pada pada 1981. Drama yang disiarkan selama beberapa musim itu turut dibintangi Allahyarham Datuk Ismail Hudson dan Dian P Ramlee.

Sebelum berada dalam bidang seni, arwah Baharuddin adalah bekas pesara tentera, selain pernah berkhidmat sebagai Penerbit Radio RTM pada 1970.

Allahyarham membintangi banyak filem hebat seperti Kisah Seorang Biduan, Darah Satria, Dia Ibuku, Irisan-Irisan Hati, Abang, Ali Setan II, selain projek penerbitan filem antarabangsa dari Jepun dan Australia.

Beliau pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Ke-2 selama tiga penggal sejak 1978, selain Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Ahli Lembaga Penapis Filem (LPF).

Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor, esok.

sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2021/07/842844/anjang-aki-sudah-tiada