Pelik Putrajaya sunyi pada waktu malam, ini rancangan Mahathir yang ramai tak tahu

Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman X peribadi beliau, @chedetofficial, menjelaskan sebab Putrajaya menjadi sunyi di waktu malam dan hujung minggu.

YABhg. Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima kunjung hormat delegasi Ibukota Nusantara Indonesia yang diketuai oleh Dr Robby Kurniawan, Ketua Pengarah Kementerian Perhubungan Republik Indonesia di Putrajaya semalam. Kunjungan hormat delegasi Indonesia ini bertujuan mendapatkan…

Menurut perkongsian beliau, kedudukan kementerian-kementerian dan premis Kerajaan yang berselerakan sekitar Kuala Lumpur menyukarkan komunikasi, melengahkan keputusan dan perhubungan sesama kakitangan Kerajaan. Bukan itu sahaja, Kuala Lumpur juga mengalami kesesakan dan kepadatan.

Justeru itu, pembangunan Putrajaya adalah untuk mengalih dan menempatkan Kementerian Kerajaan di dalam satu kawasan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkongsi bahawa antara bandar yang dijadikan model bagi Putrajaya ialah Brasilia, Islamabad, Tokyo, Paris dan Isfahan, Iran. Kesemua bandar ini telah dipelajari bukan sahaja kebaikannya, malah kesilapan dan kekurangan di bandar itu.

Beliau memberi contoh berkenaan pembinaan jalan seperti boulevard, iaitu sebatang jalan besar sepanjang 4.2km bermula dari Perdana Putra hingga PICC.

Jelas beliau, ia diinspirasi dari Champs Elysees, Paris. Di sepanjang kiri dan kanan boulevard ini terdapat bangunan-bangunan kementerian.

Sebelum ini jika di Kuala Lumpur, kedudukan kementerian berselerak dan tidak teratur, jadi apabila Putrajaya dibina, bangunan Kementerian disusun di sepanjang kiri dan kanan boulevard sekali gus menyelesaikan isu komunikasi dan perhubungan kakitangan Kerajaan.

Bagaimanapun, pada asalnya, boulevard ini tidaklah dikhaskan kepada premis Kerajaan. Dr Mahathir berpandangan bahawa boulevard ini perlu meriah seperti Champs Elysees dan Jalan Bukit Bintang yang di sekitarnya terdapat kedai-kedai, restoran dan hiburan.

Orang ramai boleh berjalan-jalan dan menikmati cahaya lampu di sekitar boulevard.

Namun begitu, idea tersebut tidak disambut baik kerana terdapat beberapa pandangan yang mahukan bangunan di situ dikhaskan kepada premis Kerajaan. Disebabkan itu kini, Putrajaya sunyi di waktu malam dan hujung minggu.

Janda Baik, Pahang pernah menjadi pilihan pembinaan pusat pentadbiran kerajaan Malaysia

Menurut Dr Mahathir lagi, sebelum ini antara kawasan yang menjadi pilihan pembinaan pusat pentadbiran Kerajaan ialah Janda Baik di negeri Pahang.

Namun disebabkan beberapa faktor kesesuaian, ia tidak dipilih. Dr Mahathir turut menekankan, pemilihan lokasi menjadi salah satu faktor utama dalam pembinaan bandar.

Oleh itu, Putrajaya yang dahulunya dikenali sebagai estet Prang Besar dipilih kerana kedudukannya yang terletak di antara Kuala Lumpur dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

baca: Nonny Nadirah akui kena sihir, wajah jadi senget