Warga emas yang memandu kereta Mercedes secara melawan arus seperti tular di media sosial kelmarin rupa-rupanya mengalami penyakit Alzheimer dan simptom nyanyuk.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata siasatan awal pihaknya mendapati pemilik kenderaan berusia 83 tahun itu mempunyai penyakit tersebut.
Lelaki warga emas itu disaman kerana memandu melawan arus di Kilometer 211 Lebuhraya Persisian Pantai Barat (WCE) berdekatan susur keluar Sitiawan Selatan.
Rakaman memaparkan individu berkenaan memandu kereta Mercedes dan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bharu, Ayer Tawar.
Semalam, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung berjaya mengesan warga emas.
“Dia kemudian dikenakan tindakan saman atas kesalahan memandu melawan arus mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dipetik BH.