Pemandu van langgar budak sekolah hingga maut ini rupanya tiada permit sah

Berita dipetik dari Astro Awani

Pemandu van yang melanggar kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, pada Jumaat dipercayai tidak mempunyai permit van sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang akan menyiasat kes berkenaan.

“Ya, pemandu van berkenaan dipercayai tiada permit van sekolah, kita akan melakukan semakan lanjut dengan pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau turut menasihatkan semua pemandu van sekolah supaya mematuhi peraturan ditetapkan dengan memiliki permit yang sah.

“Ibu bapa juga dinasihatkan memilih perkhidmatan van sekolah berdaftar dengan mengambil kira faktor keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan pemandu van berusia 31 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari Jumaat, mangsa yang baru pulang dari sebuah sekolah kebangsaan dihantar ke tadika tersebut sebelum pergi ke kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA).

Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke unit kecemasan Nilai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.30 petang semasa menerima rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber : Astro Awani

COMMENTS