Pembantu kedai didenda RM2,500 sebab buang patung hiasan

  • Post author:

Pembantu kedai didenda RM2,500 sebab buang patung hiasan. Dia dijatuhkan hukuman denda selepas mengaku bersalah.

Menurut Utusan, dia melakukan perbuatan khianat dengan membuang patung hiasan milik individu lain dalam satu kejadian di Taman Scientex Senai, dekat sini pada 15 Mei lalu.

Penjara 3 bulan jika gagal bayar denda

Gabriele Jungkak Anak Steward turut dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Kulai.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 23 tahun itu telah mengambil patung hiasan bernilai RM25 yang bersambung dengan air pancutan sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun dengan denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuannya, Gabriele Jungkak memberitahu dia membuang patung berkenaan kerana ianya telah mengganggu ketika dia sedang melalui kawasan berkenaan.

Buang dan bakar patung hiasan di lokasi lain

Tertuduh juga mengaku membuang dan membakar patung-patung hiasan di lokasi lain pada waktu berlainan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah turut menasihati tertuduh untuk belajar hidup bermasyarakat dan menghormati barangan milik individu lain.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Baca Juga: Lelaki warga Myanmar gagal culik kanak-kanak usia 4 tahun, ditahan bapa mangsa dan orang awam

Baca Juga: Makan sayur pun rasa kayangan sungguh, harga barang naik menggila