Pemilihan timbalan Speaker jadi tumpuan di parlimen hari ini, Nga Kor Ming akan menang?

Pemilihan timbalan Speaker jadi tumpuan di parlimen hari ini, Nga Kor Ming akan menang?

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bersambung hari ini dengan tumpuan kepada pemilihan Calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Datuk Seri Ahmad Maslan dari Barisan Nasional menjadi calon tunggal blok kerajaan bagi mengisi kekosongan jawatan itu dan dijangka dicabar wakil Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang iaitu Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Ahmad Maslan sebelum ini menggariskan 20 cadangan transformasi Parlimen sekiranya dipilih menjawat jawatan itu.

Antaranya ialah cadangan supaya setiap Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan dan Pembangkang disediakan seorang pegawai penyelidik bagi membantu membuat kajian dasar, ucapan, soalan dan yang berkaitan dengan tugasan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pontian itu turut mencadangkan supaya Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dikemas kini agar lebih sesuai, terkini dan relevan dengan kehendak semasa.

Kerusi Timbalan Speaker Dewan Rakyat kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.

Sidang Parlimen membuka tirainya pada Isnin dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Rakyat.

Ini merupakan persidangan pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dalam perasmian pada Isnin bertitah agar semua pihak mengamalkan politik bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa sahaja masalah yang berlaku dalam negara.

Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sidang-parlimen-pemilihan-timbalan-speaker-tumpuan-hari-kedua-319580

COMMENTS