Pemilik butik songkok ini bagitu bangga apabila songkoknya dikenakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada 2015.
Meraskan dunia seakan terhenti seketika semasa istiadat Kemahkotaan Sultan Johor itu yang diarak dari Istana Bukit Serene hingga ke Istana Besar, Johor Bahru sebelum kemuncaknya baginda dipakaikan dengan mahkota kebesaran negeri Johor.
Pemilik Butik Songkok Masood Hussin itu mengakui amat teruja dan amat bersyukur kerana hasil karya seni tangannya digunakan serta diiktiraf Sultan Ibrahim.
“Sebagai anak jati Johor, saya berasa bangga kerana Tuanku sudi menggunakan songkok hasil tangan saya dan sehingga kini saya rasa berbesar hati kerana diberikan peluang untuk mereka khas songkok sempena hari pertabalan Tuanku.
“Ini adalah pengalaman yang besar dan paling manis sepanjang hidup saya,” ujarnya ketika ditemui semasa mengimbau kenangan tersebut.
Menceritakan semula bagaimana dia mendapat kepercayaan membuat songkok Sultan Ibrahim, Nur Dalila berkata, semuanya bermula pada 2010 atau 2011 selepas mendapat jemputan membuat songkok khas untuk Sultan Johor.
Pada masa itu katanya, Sultan Ibrahim berangkat ke Muar sebelum memintanya ke Istana Tanjung bagi menghasilkan songkok buatan tangan buat baginda dan juga putera-puteranya.
“Memang rasa gementar jugalah sebab saya tidak pernah menghadap Tuanku tetapi sebagai rakyat, saya menjunjung titah dan ke istana untuk mengambil ukur lilit tepat kepala baginda dan juga paduka anakanda.
“Pada masa itu saya membuat songkok biasa sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku tetapi reka bentuk songkok itu adalah daripada ilham Tuanku termasuklah sulaman ‘SI’ pada bahagian dalam songkok,” katanya.
Menurutnya, beberapa tahun kemudian, Tuanku menitahkan dia ke istana sekali lagi bagi menghasilkan songkok peribadinya tetapi tugasan kali ini agak mencabar kerana songkok tersebut akan dipakai sempena istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada 2015.
“Saya dan suami, Zahedy Zakaria, 45, kemudian ke istana dan dari sanalah kami diberitahu bahawa saya diminta untuk menghasilkan songkok bagi upacara istiadat Hari Kemahkotaan Sultan Johor.
“Saya kemudiannya ditunjukkan oleh Tuanku songkok seperti yang dipakai pihak Jumaah Majlis Diraja Johor tetapi titah Tuanku ia sedikit lain kerana baginda tidak mahu ada ‘hiasan tepi’ seperti digam dan jenis bertingkat.
“Tuanku kemudian memberitahu butiran yang selanjutnya.
“Songkok khas ini sebenarnya diinspirasikan oleh Tuanku daripada songkok Almarhum Sultan Sir Abu Bakar, cuma ia diberi nafas baharu oleh Tuanku kerana ia berbentuk bulat, berbanding songkok yang dipakai Almarhum berbentuk bujur,” katanya.
Menurut Nur Dalila, tempoh pembuatan songkok tersebut mengambil masa lama kerana memerlukan ketelitian dan ketepatan sebagaimana dititahkan, selain tempahan itu adalah reka bentuk baharu, eksklusif serta bakal digunakan pada hari penuh bersejarah.
“Songkok ini dibuat daripada bahan eksklusif iaitu baldu berwarna biru diraja. Fabriknya berkualiti baik dan tidak salah saya, ia diimport khas dari Jerman,” katanya yang lega dan gembira apabila songkok khas itu diterima oleh Sultan Ibrahim.
Baca juga: Kagum! Walaupun usia sudah 80 tahun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja boleh hafal teks