Pemimpin Bersatu mahu Tok Pa jadi TPM, tolak Azmin dan Hamzah

Di sebalik desas-desus bekas Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) baharu, seorang pemimpin Parti Bersatu berpandangan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed lebih layak menggalas tanggungjawab berat mewakili parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang enggan dikenali itu berkata, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dianggap calon paling layak untuk jawatan TPM kerana pemimpin itu mampu berperanan sebagai pendamai kepada Bersatu dan UMNO untuk jangka masa panjang.

Memetik Sinar Harian ujar beliau, keperibadian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) itu juga dilihat lebih tenang, fokus kepada tanggungjawab diamanahkan dan tidak suka bercakap politik juga antara faktor utama mengapa Tok Pa sepatutnya dipertimbangkan Bersatu bagi jawatan nombor dua kerajaan itu.

Tambahnya lagi, beliau juga tidak faham mengapa nama Tok Pa tidak dianggap layak menggalas jawatan TPM, bersama senarai calon-calon lain yang digembar-gembur turut dipertimbangkan parti iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Mohamed Azmin sendiri.

“Secara peribadi, saya fikir Tok Pa lebih layak kerana beliau menepati ciri-ciri diperlukan untuk menggalas jawatan itu seperti personaliti tenang, tidak suka bercakap politik, pencapaian cemerlang dalam setiap portfolio kementerian dipegang serta paling penting, mampu menjadi jambatan pendamai kepada hubungan Bersatu-UMNO yang tegang.

“Keperibadian beliau jelas berbeza dengan empat calon lain yang dispekulasikan kerana beliau disenangi oleh sahabat dan seteru politik, mempunyai idea hebat untuk memperkasakan ekonomi negara serta tidak pernah memainkan peranan sebagai pencatur politik.

“Saya percaya kombinasi Ismail Sabri-Mustapa mampu membawa negara segera keluar daripada tri-krisis terburuk, mengapa tidak lantik beliau?,” katanya.

Sumber MPT Bersatu berkata demikian bagi mengulas spekulasi terkini mengaitkan Mohamed Azmin sebagai calon utama Bersatu bagi mengisi jawatan TPM.

sumber : https://suara.tv/25/08/2021/lebih-baik-tok-pa-jadi-tpm-laporan/