Pemimpin PH sahkan ada blok kerusi terbesar, kerajaan akan bertukar?

Selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengumumkan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbul pelbagai spekulasi mengenai status kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ada sesetengah pemimpin parti mendakwa kerajaan PN sudah tumbang, ada juga yang mendakwa, kerajaan kekal tetapi Muhyiddin kena berundur.

Namun, bagi Parti Amanah Negara (Amanah) secara teknikalnya kerajaan PN sudah jatuh kerana UMNO membuat keputusan menarik diri.

Menurut Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Pakatan Harapan (PH) masih kekal blok terbesar dengan 89 Ahli Parlimen termasuk dari PKR dan DAP.

Bagaimanapun, kata beliau, PH belum mempunyai jumlah kerusi Ahli Parlimen (MP) yang mencukupi, iaitu sekurang-kurangnya 111 sokongan untuk membentuk kerajaan.

Katanya, baki lagi 133 yang mempunyai majoriti besar masih ada di blok Barisan Nasional (BN), parti dari Sabah dan Sarawak.

“Keputusan UMNO yang diumumkan awal pagi tadi merintis jalan kepada kejatuhan kerajaan PN, tetapi secara alternatifnya sebuah kerajaan yang kuat dan stabil seperti titah Yang di-Pertuan Agong belum kelihatan.

“Jatuhnya PN secara teknikal jatuhnya kegagalan, keangkuhan dan lebih utama satu pengkhianatan.

“PH kekal konsisten mahukan mandat rakyat dikembalikan, tetapi UMNO tarik diri dari PN dan jelas kenyataan Presidennya mahukan PRU setelah kelompok imuniti tercapai,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Awal pagi ini, UMNO menerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah memutuskan untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tetapi pada masa sama mahu kerajaan PN kekal.

Keputusan itu diumumkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media yang diadakan secara maya selepas MKT selesai bermesyuarat.

Pada masa sama, Ahmad Zahid merestui pelantikan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Kanan Luar Negeri serta mengetuai Kluster Keselamatan.

Menurut Dr. Mujahid yang merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar, beliau sedih dengan melihat kehidupan rakyat menderita, ekonomi dalam bahaya dan kes positif Covid-19 terus meningkat.

Amat malang, katanya, bagi negara ini terpaksa melalui musibah sedemikian.

“Tetapi sekurang-kurangnya satu kegagalan dan pengkhianatan telah diakhiri dan sekali lagi kebijaksanaan Tuanku diperlukan bagi merealisasikan kerajaan yang kukuh dan stabil untuk menangani Covid-19 serta ekonomi yang parah,” katanya. – MalaysiaGazette