Seorang pemuda berusia 25 tahun mengakui tidak malu bekerja sebagai seorang tukang cuci di Singapura.
Walaupun pekerjaannya pernah dipandang rendah, namun ia tidak mematahkan semangat anak muda ini kerana gaji yang diterimanya cukup lumayan untuk menyara dia dan keluarga kecilnya.
Shahril Nizam Suhaimi banyak berkongsi tentang pekerjaannya di platform TikTok sehingga meraih perhatian netizen di akaun sosial itu.
Menurutnya, dia dibayar sekitar SGD2,400 atau bersamaan RM8,005.80 termasuk kerja lebih masa.
Memetik laporan Harian Metro, dia memilih bekerja di seberang tambak itu untuk mencari wang tambahan sebagai persediaan untuk majlis perkahwinannya tahun lalu dan berulang-alik dari Gelang Patah ke Singapura hampir setiap hari.
Katanya, dia suka berkongsi aktiviti kerja di TikTok sebagai kenangan dan mengakui menerima komen seperti menghakimi kerjanya itu termasuk ada yang tidak percaya dia bekerja sebagai tukang cuci kerana memperolehi keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lapan tahun lalu.
“Ada yang komen cakap ‘oh tukang cuci je’ tetapi bila dia tahu saya kerja di Singapura dia pula bertanya kerja kosong. Ada juga tanya kenapalah tak cari kerja lain atau kerja kerajaan sedangkan saya tak kisah pun asalkan sumber saya halal.
“Orang tak tahu sudah banyak kali cuba dan pergi temu duga tetapi bukan rezeki saya jadi saya hargai rezeki yang Allah bagi ketika ini. Saya tak sambung belajar pula kerana masalah kewangan dan sekarang sudah stabil sedikit,” katanya lagi.
Baca juga: Digelar ‘Demolition Man’, terdedah identiti sebenar ayah kandung Aisyah Hijanah