Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini tampil bersuara berhubung sikap parti itu yang kerap mengalah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau menyenaraikan tiga situasi bukti Umno-BN mengalah kepada Bersatu selepas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengeluarkan kenyataan yang dianggapnya “melampau”.
“Waktu nak selamatkan kerajaan Persekutuan, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 43 Ahli Parlimen, berjiwa besar mengalah kepada PPBM yang hanya ada 6 + 15 (Ahli Parlimen Lompat dari Umno) untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM.
“Waktu nak tubuhkan kerajaan Perak, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 25 ADUN berjiwa besar, tetap mengalah kepada PPBM yang hanya ada 4 kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Faizal Azumu sebagai MB.
“Waktu nak tubuhkan kerajaan Sabah, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 14 ADUN berjiwa besar, sekali lagi mengalah kepada PPBM yang hanya ada 11 kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Hajiji sebagai KM,” ujarnya.
Sehubungan itu, Asyraf mengingatkan Umno selama-lamanya tidak akan mengambil sikap mengalah.
“Justeru jangan melampau! Ahli-ahli Umno juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah.
“Nasihat saya bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas,” tegasnya di Facebook miliknya berserta tangkap layar kenyataan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Beliau turut menegaskan jentera Umno-BN di akar umbi bekerja keras bukan sahaja di kawasan BN bertanding bahkan membantu memenangkan calon-calon Bersatu atas bendera Perikatan Nasional di kawasan-kawasan yang hakikatnya menjadi tradisi kubu kuat Umno-BN hampir 30 tahun.
Terdahulu, Ahmad Fayhsal berkata, Perikatan Nasional tidak dibebani dengan isu legasi, “trust deficit” kerana ianya masih baru dan segar.
“Kekuatannya banyak terkumpul pada YAB Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kita tahu tidak ponggah, tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama asalkan matlamat utama dalam menubuhkan kerajaan yang kuat, berintegriti dan beramanah itu tercapai.
“Barulah rakyat sayang, tidak dibayangi dengan skandal dan masalah yang kronik sehingga rakyat susah nak percaya,” katanya.
Tanpa menyebutkan Umno sebagai rakan, bekas pegawai kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tersebut hanya memetik nama Pas.
“Kita akan perkukuhkan koalisi ini bersama rakan kita Pas dalam usaha berdepan dengan PRU-15 yang bakal tiba tak lama lagi.
“Semoga Allah melembutkan hati-hati kita untuk tidak tamak dan sepet akal dalam menilai. Masa depan Malaysia buat masa ini cerah bersama Perikatan Nasional. Insha-Allah,” kata Ahmad Fayhsal lagi.