Penduduk di 12 kawasan ini elok amalkan minum kelapa muda, makan tembikai sejukkan badan musim panas

Buah-buahan seperti kelapa muda dan tembikai memang patut dijadikan ‘sahabat’ untuk sejukkan badan ketika menempuh cuaca panas pada masa ini.

Seorang pegawai perubatan swasta ada menyenaraikan antara petua untuk menyejukkan badan ketika berdepan cuaca panas.

Dr. Ahmad Samhan menerusi perkongsiannya di kumpulan Telegram berkata, amalkan merendam kaki ke dalam air sejuk.

“Selain itu, minum air kelapa, perbanyakan makan tembikai, timun serta daun sederi.

“Boleh juga amalkan minuman berasaskan teh pepermint dan makan makanan berempah serta menyapu lidah buaya di seluruh badan untuk beri kesejukkan,” sarannya.

Cuaca panas yang berlaku sekarang disebabkan negara berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan terdapat 12 kawasan di seluruh negara berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga).

Penduduk di kawasan terbabit bolehlah amalkan petua dikongsikan Dr. Ahmad Samhan di atas:

  1. Perlis
  2. Pulau Langkawi, Kedah
  3. Padang Terap
  4. Sik
  5. Baling
  6. Kubang Pasu
  7. Kota Setar
  8. Pokok Sena
  9. Pendang
  10. Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang
  11. Kuala Kangsar, Perak
  12. Beaufort, Sabah.

Jelas MetMalaysia, keadaan tersebut menyebabkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan bersedia menghadapi cuaca panas, kering serta fenomena El Nino yang berlaku di negara ini.

Katanya, kementerian, jabatan dan agensi berkaitan akan mengambil tindakan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan berdasarkan Tahap Amaran dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).

“Jabatan dan agensi terlibat perlu sentiasa bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar secara serta-merta dan Operasi Pembenihan Awan sekiranya diperlukan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

“NRES dengan kerjasama kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan ‘whole of government approach’ bagi membanteras kebakaran tapak pelupusan sampah haram.

“Turut meliputi usaha menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara negara serta kesihatan awam,” katanya.

BACA JUGA Tidak pernah didokumentasi, saintis sahkan temui anakonda sepanjang 6.3 meter