Pengantin jadikan bawang, sardin, tepung sebagai hantaran

Pasangan pengantin baru ini menarik perhatian warganet dengan pilihan unik mereka untuk hantaran perkahwinan, menggunakan barangan keperluan asas.

“Saya tidak anggap ideanya ‘gila’, sebaliknya ia memudahkan dan menjadi simbolik kepada minat saya dalam memasak,” kata Siti Masnida Abdul Malek.

Siti Masnida dan suaminya, Mohd Yusri Md Yunus, bersatu pada 31 Disember lalu dengan hantaran berbalas dulang berupa barangan dapur seperti cili, gula, garam, ikan sardin, minyak masak, bawang, halia, telur, rempah ratus, dan pes perencah tomyam.

Menurut laporan Harian Metro, pemilihan barangan tersebut adalah idea Siti Masnida dan mendapat sokongan keluarga, disamping diakui semua barangan disediakan dengan bajet di bawah RM100 bagi setiap dulang.

Pada mulanya, suami ingin memberikan hantaran seperti minyak wangi, beg tangan, jam, dan kasut, tetapi bukan menjadi keutamaan kerana mereka sudah mempunyai semua barangan tersebut.

“Hantaran kahwin itu dibuat bukan kerana kami tidak mampu, tetapi saya mahukan sesuatu yang berbeza mengikut kemahuan. Saya bukan seorang yang suka memakai banyak barang, dan saya suka memasak jadi sebab itu pilih barangan dapur.

“Idea itu datang seminggu sebelum majlis dan kami beli barang pihak lelaki dengan kos RM85 untuk lima dulang hantaran manakala saya tujuh dulang dengan kos bawah RM50 saja kerana sebahagian barang seperti bawang diambil di rumah,” kata Siti Masnida.

Dia juga menyatakan bahawa kelebihan memilih barangan tersebut bukan sahaja memuaskan hatinya, tetapi juga menjimatkan kos, membolehkan mereka memberi wang tambahan untuk berbulan madu di Sabah tidak lama lagi.

baca: ‘Kaki rasa dah nak tercabut jalan sana sini tak berhenti’ – Gadis ini cerita azabnya kerja F&B