“Warga Indonesia selamatkan kami, mana agensi kerajaan?”, keluhan mangsa banjir ini buat Noh Omar terkedu.
Seorang mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor meluahkan rasa kecewanya kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkenaan ketiadaan bantuan segera daripada agensi kerajaan pada hari pertama penduduk terperangkap.
Sedutan video kenyataan wanita itu yang tular di media sosial antara lain menyebut terdapat tiga rakyat Indonesia mendayung sampan membantu untuk menyelamatkan anak seorang mangsa banjir yang terperangkap di atas bumbung rumah.
“Kalau Tan Sri nak tahu, hanya menolong kami rakyat Indonesia, mendayung sampan sampai tiga orang, untuk menyelamatkan anak kakak ini yang terperangkap atas bumbung rumah, daripada pukul 12 tengah malam sehingga 4.30 pagi, 5.30 pagi.
“Itu (rakyat Indonesia) yang menolong kami rakyat asing. Di manakah agensi kerajaan pada masa itu?” soalnya kepada Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.
Untuk rekod, kira-kira 100 penduduk di Taman Sri Nanding terperangkap dalam bah pada 19 Disember lalu dan terpaksa berlindung di bumbung Surau Al Munir lebih 12 jam.
Mereka termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas berkerusi roda, bayi baru lahir dan ibu mengandung bermalam di bumbung surau itu dalam kesejukan.
Noh yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor dilihat mendengar dan mengangguk-anggukkan kepala sepanjang kira-kira dua minit wanita itu bersuara.
Lebih sedih, mangsa yang juga penduduk di Taman Sri Nanding itu mendedahkan kegagalan pihak agensi kerajaan untuk bertindak segera dalam operasi menyelamat walaupun telah dihubungi ketika mangsa bah dalam keadaan kritikal.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu kemudiannya bertanyakan sama ada pihak bomba telah dihubungi.
Wanita yang bercakap dengan nada tenang dan ayat tersusun itu memberitahu bukan sahaja bomba bahkan pihak lain turut dihubungi untuk meminta bantuan.
“Bomba kami call, JPAM kami call, even Kem Sungai Besi kami call. Buletin Utama punya penerbit TV3 pun kami call.
“Masing-masing menolong untuk mendapatkan bantuan kepada kami yang terperangkap dalam rumah seramai 30 orang. Tiada satu pun agensi kerajaan yang datang menolong kami.
“Kenapa agensi kerajaan datang pada masa air yang sudah surut? Pada masa keadaan kritikal, air sudah sampai tahap bumbung rumah, tiada sebarang agensi kerajaan datang menolong.
“Kecuali JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) , yang difahamkan saya JPAM hanya menghantar tiga bot dalam kawasan seluruh Hulu Langat.
“Sudah tentu Tan Sri, tiga bot tidak mencukupi untuk menolong semua warga Hulu Langat”
“This is common sense ‘kan Tan Sri? Di mana perginya tentera kita?” soal mangsa banjir itu lagi sambil disaksikan seorang individu berbaju kurung jingga dipercayai pegawai kerajaan.
Sebaliknya, mangsa banjir itu turut memberitahu, pihak tentera ada membantu penduduk terjejas ketika banjir pada tahun 2014 walaupun paras air ketika itu tidak setinggi seperti bah pada 19 Disember lalu.
“Air hanya dalam keadaan paras paha, tapi tentera ada menolong kami. (Tapi) dalam masa kami dalam keadaan kritikal, pada hari Ahad, tiada sebarang agensi datang menolong kami kecuali JPAM. Sunyi sepi.
“Sampai saya meminta bantuan daripada salah seorang sahabat saya, masuk dalam Twitter. Walaupun Istana Negara kita masuk minta bantuan.
“Tiada seorang pun datang menolong kami. Jadi, kami berharap, rakyat bagi pihak Taman Sri Nanding terutama warga Hulu Langat memohon jasa baik… ,” tambah wanita berkenaan lagi.
-Info Rakyat-