Satu rakaman menerusi aplikasi video pendek popular, TikTok memaparkan seorang lelaki negara ini menyatakan sokongan secara terbuka terhadap keganasan ZionisIsrael.
Sambil memandu kereta, dia mengakui suka dengan peperangan yang dilakukan Israel terhadap penduduk di wilayah Palestin.
“Bersama Israel. Hidup Israel. Aku memang suka Israel. Aku suka dia punya jahat. Aku suka pecahkan ketamadunan. Aku suka pecahkan sifat keperikemanusiaan.
“Jadi kejam. Ya. Aku suka hidup dalam suasana yang kejam. Aku suka peperangan sebab itu aku suka Israel,” katanya.
Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataannya itu hanya bertujuan menyindir golongan pro Zionis Israel.
Untuk rekod, siri keganasan terbaharu Israel pada masa ini dianggap terburuk dalam tempoh beberapa tahun sehingga mencetuskan pergolakan di Baitulmaqdis.
Pagi kelmarin, Israel menyerang lebih 90 sasaran menerusi ‘gelombang serangan berterusan’ di wilayah pesisir pantai yang padat.
Serangan Yahudi Zionis itu memusnahkan bangunan pejabat agensi media sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin terkorban dengan angka kematian semakin meningkat termasuk yang mungkin masih berada di bawah sisa runtuhan bangunan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, 40,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal sejak serangan berlaku dengan bedilan roket dapat dilihat sepanjang malam di bumi Gaza.
‘Aku suka peperangan’
Lelaki tempatan tersebut juga menganggap ramai orang sepertinya menyokong Israel yang telah menyerang dan membunuh penduduk Palestin di Semenanjung Gaza sejak minggu lalu.
“Ramai lagi ‘kan suka Israel? Ya. Kita geng. Hidup Israel. Buat apa hidup baik-baik.
“Jangan cakap dengan Islam. Jangan cakap dengan Yahudi, agama lain. Israel sesama sendiri bergaduh pun aku suka.
“Aku tak suka hidup secara aman. Aku tak suka ketenangan. Aku suka peperangan,” kata lelaki yang menggunakan nama pahlawan90 itu.
Identiti lelaki itu kemudiannya difahamkan seorang kakitangan Jabatan Penjara Malaysia berdasarkan uniform yang dipakainya dalam satu lagi klip Tik Tok.
Tertera nama ‘Shafik’ di bajunya, individu dipercayai berusia awal 30-an itu bersajak pula sambil membaca teks.
Karakternya dilihat jauh berbeza berbanding rakaman videonya yang menyokong keganasan Israel itu.
sumber : https://malaysiadateline.com/penjawat-awam-sokong-keganasan-israel-suka-peperangan/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook