Penjelasan santai dari Pengarah Kesihatan bagaimana Covid naik mendadak di T’ganu

Dalam tempoh lima hari sepanjang minggu lalu, Terengganu merekodkan kes baru Covid-19 sebanyak tiga angka, selain mencatatkan antara kadar kebolehjangitan tertinggi di Malaysia.

Bagi Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, ia bukanlah perkara yang mengejutkan dan dia berkata negeri itu mungkin mencatatkan kes baru lebih seratus sekali lagi hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook semalam, dia berkongsi lima cerita bagaimana pengabaian prosedur operasi standard (SOP) telah membawa kepada peningkatan penularan di negeri itu.

Kisah pertama, menurut Nor Azimi, berkenaan 18 individu yang “melepak” di sebuah rumah kosong di Setiu.

Ia menyebabkan 17 individu – melibatkan mereka yang berada di rumah itu dan ahli keluarga – disahkan positif dengan 162 orang dikesan sebagai kontak rapat, katanya.

Kisah kedua pula berkenaan seorang yang disahkan positif ketika menjalani saringan masuk kerja di Johor.

“Akhirnya 41 ahli keluarga dan kawan disahkan positif serentak. Seramai 245 kontak rapat dikesan.

“Rupa-rupanya ada beberapa buah rumah dalam pagar sama. Turun naik rumah itu (jadi perkara) biasa,” katanya.

Covid-19 tak dipandang serius

Kisah ketiga pula berkenaan penganjuran majlis buka puasa melibatkan 20 orang, yang mencetuskan kluster Bukit Pauh di Dungun dengan 78 kes positif dan 496 orang kontak rapat.

“Merebak pula ke Kuala Terengganu, bila kes (positif) tadi ada diskusi dan moreh di kedai makan. Akhirnya dua kawan dikesan positif.”

Kisah keempat, menurut Nor Azimi, melibatkan sekumpulan yang memasak bersama-sama untuk juadah berbuka puasa di sebuah surau di Marang.

Daripada program itu, sebanyak 26 kes positif dan 283 kontak rapat dikesan.

Kisah terakhir berkenaan seorang individu yang pergi ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat tanpa membuat penilaian risiko.

“Masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif, ribuan kontak rapat terpaksa disaring,” katanya.

Katanya, ada berpuluh lagi kisah yang boleh dikongsinya bagi menunjukkan pengabaian SOP yang perlu dijadikan iktibar.

“SOP semua kelaut. Sebab apa kelaut? Sebab mereka tak cakna, sambil lewa dan perlekeh pematuhan SOP. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan.

“Kita tak tahu status kawan kita masa majlis sosial ini dibuat. Kita hanya tahu bila mereka disahkan positif. Akhirnya kita jadi kontak rapat, nasib tak baik kita pula disahkan positif,” katanya lagi.

Justeru itu, Nor Azimi berkata iktibar yang boleh diambil adalah jangan sesekali mengambil mudah kebolehjangkitan Covid-19.

‘Sembahyang dalam gelap’ disyaki punca PKPD

Sementara itu, di Kelantan, Harian Metro semalam melaporkan sejumlah penduduk di Kampung Pauh Lima di Bachok mengadakan sembahyang berjemaah dalam gelap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, susulan had empat jemaah saja yang dibenarkan.

Laporan itu memetik seorang penduduk berusia 45 tahun yang enggan dinamakan, yang berkata ia menyebabkan berlaku penularan wabak di kampung tersebut.

“Mereka tetap mengerjakan solat lima waktu seperti biasa. Cuma untuk waktu siang, kehadiran tidak seramai sebagaimana di sebelah malam.

“Ketika solat sunat tarawih, kehadiran memang ramai sehingga mereka sanggup solat dalam keadaan bergelap dan menyembunyikan selipar.

“Memang rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan penduduk berkenaan kerana kesannya habis satu kampung yang terjejas disebabkan kedegilan mereka,” katanya seperti dipetik.

Kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kampung itu dan sebuah lagi kampung di Kota Bharu, bagi mengekang peningkatan kes positif di sana.

Seorang lagi penduduk kampung yang hanya ingin dikenali sebagai Yah pula berkata apa yang berlaku mencetuskan kemarahan kepada penduduka lain, terutama yang mematuhi SOP.

“Saya mendapat maklumat memang ada jemaah yang batuk serta demam, namun masih pergi ke surau berkenaan untuk solat tarawih.

“Saya pun tidak faham kenapa penduduk terlalu degil untuk mengikut arahan yang dikeluarkan. Inilah dikatakan mengejar pahala di tempat yang salah.

“Bila pelaksanaan PKPD, semua penduduk yang terjejas, bukannya hanya golongan yang melanggar SOP,” katanya yang berusia 50 tahun.

Bagaimanapun, laporan itu turut memetik Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin yang berkata pihaknya masih menyiasat sama ada penularan kes Covid-19 di kampung itu berpunca daripada kegiatan surau atau tidak.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/575153