Seiring dengan dunia sudah semakin maju, alat jenayah pun semakin canggih. Inilah yang berlaku di penjara Tapah Road apabila kakitangan penjara menjumpai sebuah dron di atas bumbung.
Drone tersebut dipercayai dijumpai di sebuah blok penjara Tapah kira-kira dalam pukul 11 pagi semalam ketika petugas berkenaan membuat rondaan.
Memetik BH Online, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 5 petang, semalam.
“Hasil pemeriksaan susulan laporan dibuat pengadu, polis menjumpai satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit,” katanya seperti dipetik BH Online.
Antara beberapa barangan lain yang ditemui selain dron, satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.
“Dadah jenis heroin berat kira-kira 122 gram, manakala dua paket plastik lut sinar pula berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram.
“Hasil pemeriksaan awal, modus operandi yang digunakan untuk membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron dari luar negara merupakan kes pertama diterima setakat ini,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.