Seorang ayah terharu apabila kuih putu mayam yang dijualnya laris dengan niat untuk melunaskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah anaknya.
Melalui video yang dikongsikan di akaun TikTok @fs79076, Khairul, 44 tahun telah lama berhenti bekerja kerana menghadapi masalah kesakitan gout yang kronik.
Setiap hari, Khairul membawa sebanyak 30 bekas putu mayam untuk dijual dengan harga RM4 setiap satu dengan hanya menggunakan motosikalnya di Seksyen 3, Shah Alam.
Dia turut sebak apabila ada individu yang memborong jualannya hingga habis pada hari itu.
“Saya sedih sebab hari ini anak saya di sekolah menengah minta duit. Cikgu dah ingatkan duit PIBG sekolah RM400 lebih tak bayar.
“Cikgu dah bagi WhatsApp bayaran tertunggak. Sebab saya memang nak bayar anak saya, niat saya hari ini,” katanya sebak.
Khairul juga memberitahu dirinya perlu menjalani pembedahan gout, namun terpaksa ditangguhkan kerana kekangan masa dan wang.
“Saya kerja macam ni, berniaga cari rezeki. Kalau saya masuk hospital siapa yang nak bayar rumah, tanggung keluarga semua. Jadi saya tangguhlah dulu rawatan saya tu,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen ramai yang bersimpati dengan nasib bapa itu kerana dia bertungkus-lumus berniaga demi melunaskan bayaran PIBG sekolah anaknya itu.
“PIBG perlu tengok sesetengah keluarga yang tak mampu, kurangkan beban kalau boleh. Saya yang tengok pun hiba,” komen Anyi.
“Semoga diluaskan rezeki pakcik ni dan keluarga. Anak- anak besar jadi orang berjaya sentiasa dalam rahmat Allah, tak lupa untuk menderma,” komen Sara.
“Bukan ke keluarga susah dikecualikan bayaran PIBG? Ya Allah curahkanlah rezeki kepada Pak Cik ni Ya Allah, amin,” komen Nora.
Baca juga: Berang rambut kurang ‘handsome’ selepas dipotong, lelaki ‘cantas’ rambut tukang gunting