Penulis buku hina Nabi Muhammad ditahan

Penulis buku hina Nabi Muhammad SAW ditahan selepas memuat naik hantaran di akaun Facebook miliknya.

Seorang penulis buku hari ini ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan memuat naik hantaran menghina Nabi Muhammad SAW menerusi laman Facebook pada Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor kira-kira 11.15 pagi.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atau perasaan permusuhan atau memudaratkan perpaduan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap lelaki berkenaan akan dibuat esok. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Baca Juga: Wanita bunuh suami ketika masih di bawah umur terlepas hukuman gantung

Baca Juga: Aktivis mohon Pengerusi Bernama siar liputan perbicaraan empat hari Bella