Seorang penunggang motosikal mempamerkan kelakuan biadab apabila didakwa sengaja menggunakan lorong kanan ketika menunggang di Lebuhraya Pan Borneo pada Ahad lalu.
Dalam video tular berdurasi seminit empat saat itu memaparkan lelaki terbabit menunggang laju di laluan berkenaan sambil diekori beberapa lagi penunggang dipercayai rakannya.
Mempamerkan gaya tunggangan seperti pelumba motosikal berkuasa tinggi, lelaki berjaket hitam dan bertopi keledar kuning itu kekal menggunakan lorong kanan meskipun beberapa kali dihon oleh pemandu dari arah belakang.
Pemandu tersebut yang kelihatan cuba untuk memotong walau bagaimanapun terpaksa membatalkan niatnya apabila laluannya terhalang oleh penunggang berkenaan.
Jarak yang terlampau rapat dan berbahaya juga membuatkan si pemandu terpaksa melupakan niat memotong motosikal terbabit yang sekali gus mencetuskan kemarahannya.
Meskipun beberapa kali membunyikan hon, penunggang terbabit tidak mempedulikan situasi tersebut dan terus menggunakan laluan memotong tersebut.
Rata-rata warganet mengecam perbuatan itu dan menyifatkan ia sebagai salah satu kesalahan lalu lintas.
“Pelumba motosikal mana terlepas ini, tak hirau orang langsung boleh pula dia guna lorong kanan sedangkan dia sepatutnya gunakan lorong khas motosikal,” kata Jasreen Noh.
“Konon paling laju di lebuh raya, menyusahkan orang terpaksa ikut kelajuan dia kerana berada di laluan kanan,” ujar Yasmeen Nazirah.
“Nombor plat pendaftaran semua ada, tunggu masa viral semua kena kutip dengan polis esok ataupun lusa,” jelas Amar Faqir.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut-majoriti
Baca juga: Aliff Shukri tolong belikan kerusi roda buat ayah Sajat tapi netizen tanya “mana si Mastika tu?”