Penduduk yang tinggal di perkampungan yang sebenar dalam alam Harry Potter di Lavenham, Suffolk, timur England, semakin resah dengan kehadiran pelancong yang didakwa mengancam kehidupan mereka.
Penghuni pekan kecil tersebut merasa hidup dalam bahaya akibat peminat filem tersebut yang dikatakan sering mengadakan barbeku (BBQ) di taman dan padang.
Menurut penduduk, penggunaan BBQ tanpa penjagaan yang selamat meningkatkan risiko kebakaran rumah kayu mereka akibat daripada bara api yang terbang.
Kebanyakan kediaman di timur Cambridge tidak dilengkapi sistem pencegahan kebakaran, kerana rumah-rumah ini adalah lama dan pemiliknya ingin mengekalkan ciri-ciri asalnya.
“Perkara terakhir yang kami perlukan ialah kebakaran di sini, kerana hampir semua hartanah berada di teres dan api mudah merebak dengan cepat.
“Bukan semua rumah dilengkapi sistem kebakaran, jadi jika bara api BBQ terbang ke bumbung, ia dengan mudah mencetuskan kebakaran dan jadi bencana.
“Hampir mustahil untuk memadamkan api yang marak dengan cepat dan memusnahkan banyak rumah bersejarah yang tiada gantinya,” kata seorang penduduk yang dilapor The Sun.
Menurut seorang penduduk lain, semua rumah di pekan tersebut telah berusia ratusan tahun dan pada masa awal pembinaannya, sistem pencegahan kebakaran belum lagi dinormalisasikan.
Notis larangan mengadakan BBQ telah diletakkan di sekeliling kampung sebagai langkah untuk mengatasi masalah ini.
Jurucakap pasukan bomba dan penyelamat Suffolk telah mengingatkan dan menggalakkan para pelancong untuk menghindari pembakaran dan BBQ di tempat terbuka, terutama ketika tanah dalam keadaan kering, kerana api boleh merebak dengan cepat dalam keadaan tersebut.
“Kami sarankan supaya orang ramai membaca panduan mengenai bagaimana menikmati BBQ secara selamat,” katanya.
Baca juga: Resepi nugget ayam Hanis Zalikha ini buat ramai terliur, kanak-kanak pun berebut nak makan!