TEKA-TEKI berkenaan status dirinya kini terjawab selepas penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, mengesahkan sudah bernikah dengan jejaka pilihan.
Nora menerusi perkongsian di akaun Instagram mendedahkan beliau kini sah bergelar isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli, 55, baru-baru ini.
Apa yang mencuri tumpuan adalah penjelasan berkenaan pilihan hatinya itu yang merupakan sahabat baik kepada arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi.
“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
“Bersempena dengan malam Jumaat yang merupakan sayyidul ayyam, saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan bahawa saya kini telah bertemu jodoh dengan seorang hamba Allah yang merupakan sahabat baik arwah Johan sejak dari kecil lagi.
“Beliau adalah saudara Rushdi Ramli.
“Saya ingin meminta maaf kerana dari awal lagi saya memang berniat untuk tidak menghebah-hebahkan ikatan ini.
“Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.
“Saya berpegang pada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ianya terlalu peribadi untuk saya kongsikan, bukan ingin bermegah-megah, jauh sekali untuk mencari publisiti.
“Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang telah ditentukan. Saya menerimanya dengan penuh sabar, reda dan syukur.
“Hanya kebaikan yang saya harapkan,” tulisnya.
Pada sama sama, beliau turut memohon mereka yang mengenalinya untuk mendoakan beliau dan keluarga.
“Saya mohon peminat dan insan yang mengenali saya menitipkan doa buat saya semoga mendapat keluarga sakinah, mawaddah dan warrahmah.
“Moga dipermudahkan segala urusan, diberkati, diredai Allah SWT dunia dan akhirat. Insya-Allah,” katanya.
sumber : https://www.astroawani.com/berita-hiburan/nora-kembali-bergelar-isteri-nikah-rakan-baik-arwah-johan-nawawi-334258