Pada zaman kini, ramai ibu bapa yang sudah tidak menekankan ilmu-ilmu ghaib dan alam yang ada selain alam manusia.
Bagi yang masih mempercayai, mereka ini sangat peka dengan perubahan alam ketika beriadah bersama ahli keluarga atau sedang berpiknik di dalam hutan.
Lelaki ini menceritakan pengalamannya yang sering dikunjungi nenek tua dan juga dirinya yang seolah-olah sedang melawat sebuah kampung aneh.
“MAKANLAH… sedap ni pucuk ubi masak lemak dengan burung puyuh.”
Pelawa seorang wanita tua dengan bersungguh-sungguh apabila melihat Syakir hanya merenung hidangan di hadapannya.
Syakir masih kelihatan seperti keliru. Di fikirannya tak henti-henti berfikir bagaimana dia boleh berada di sebuah pondok buluh yang cantik buatannya itu.
Siapa gerangan wanita tua berpakaian ala jubah dengan kerudung serba putih di hadapannya pun dia tidak tahu.
“Makanlah cu… banyak kali cucu datang tapi tak sempat pun jamah. Cucu tetamu istimewa, tahu?” ulang wanita itu lagi.
Dalam keadaan serba keliru, Syakir tetap mencelup tangan kanannya ke dalam mangkuk kayu berisi air.
Baru hendak menyuap, tiba-tiba Syakir terdengar laungan yang begitu kuat sehingga hampir pecah gegendang telinganya.
Terus dia terjaga daripada tidur dan melihat rakan satu dorm, Malik, sedang duduk di birai katil.
“Kau mimpi apa, Syakir? Nak terkeluar anak tekak aku kejut… sampai laung azan tepi telinga baru kau buka mata!” kata Malik.
Syakir sendiri terkejut sebaik dia terjaga daripada tidur, namun dalam hatinya bersyukur kerana sahabatnya seolah-olah muncul pada waktu yang tepat untuk mengejutkannya.
“Dah la… nak pukul 5.30 pagi ni. Pergilah mandi… aku tunggu kau. Nanti kita ke surau sama-sama,” kata Malik sambil bangun menuju ke lokernya untuk mengambil kopiah.
Seharian di kelas, Syakir seperti tidak dapat menumpukan perhatian terhadap apa yang diajar oleh guru-gurunya.
Perubahan itu disedari oleh Malik namun dia mahu bertanya mengenai perkara itu apabila waktu ulang kaji (prep), malam nanti.
Selepas selesai solat Isyak berjemaah, penghuni asrama berpusu-pusu menuju je bilik ulang kaji untuk menelaah mahupun menyiapkan kerja sekolah masing-masing.
Malik menarik kerusi di hadapan Syakir yang kelihatan ralit menghirup air coklat panas sambil merenung kosong buku rujukan Kimia.
“Kau macam terganggu aku perasan kebelakangan ni… Kalau kau nak bercerita apa-apa, aku sedia mendengar. Kot-kot boleh beri pendapat yang tak seberapa ni,” kata Malik bercanda membuka bicara.
Syakir merenung Malik beberapa saat sebelum membuka mulut dan bercerita mengenai mimpi yang dialaminya, pagi tadi.
“Dah beberapa kali sebenarnya aku mimpi benda aneh dan berada di pondok buluh tengah hutan tu.
“Ada pernah aku mimpi nampak orang kampung berzanji di dalam rumah tu, kanak-kanak bermain riang di halaman pondok tu. Aku hanya duduk perhati saja umpama orang asing.
“Namun semua wajah mereka samar-samar tapi yang pastinya, mereka berpakaian putih dan harum.
“Sebelum ini aku terjaga tidur sendiri, tapi pagi tadi entahlah… mata aku nak terbuka tapi susah sangat. Kalau aku makan nasi yang dihidang tu, entah agaknya tak bangun-bangun tidur agaknya,” dalam nada risau, Syakir masih berseloroh.
Malik yang mendengar tekun cerita Syakir kemudian bersuara.
“Daripada kau cerita ni, macam kau tersesat dalam perkampungan bunian je. Macam ni, pakcik aku ni ada kebolehan merawat orang juga… kalau kau terasa ingin berubat, nanti aku beritahu dia.
“Tapi aku rasa, seeloknya kau cerita dulu pada mak ayah kau. Aku bukan apa, risau tengok kau macam hilang konsentrasi.
“Kita ni nak SPM dah tak lama lagi,” Malik meluahkan pendapatnya.
Hujung minggu itu, Syakir pulang ke kampung sempena cuti persekolahan selama seminggu.
Dia mengambil peluang tersebut untuk bercerita mengenai mimpi aneh yang dialami kepada bapanya.
“Syakir rasa macam pernah ternampak je pondok buluh tu… macam familiar tapi tak tahu dekat mana.
“Syakir takut setiap kali nak tidur… takut mimpi bukan-bukan. Takut bangun je, tiba-tiba memang duduk dekat pondok tu,” luah Syakir.
Bapa Syakir hanya merenungnya sebelum menghela nafas dan mula membuka cerita.
“Masa Syakir berusia enam tahun, Syakir pernah hilang seharian… ketika itu arwah mak dan ayah bawa Syakir berkelah di air terjun dekat kampung atuk.
“Pengsan arwah mak kamu masa tu… Tok imam, orang kampung dan bomba jenuh mencari. Akhirnya jumpa Syakir dekat pukul 10 malam. Tok imam kata, ada yang ‘pinjam’ Syakir sekejap.
“Selepas itu, tak pernah dah pergi berkelah sampailah Syakir besar. Sebab itu arwah mak larang Syakir pergi mana-mana air terjun ikut kawan ke, program sekolah ke,” cerita bapa Syakir.
Memandangkan apa yang dialami Syakir seperti mempunyai kaitan dengan kisah kehilangannya, bapanya membuat keputusan untuk membawa dia berubat.
Mereka menuju ke kampung sahabat Syakir, iaitu Malik untuk bertemu dengan bapa saudaranya, Pakcik Yasir.
“Menurut apa yang saya perhati, memang ada kaitan dengan kisah dulu. Nenek yang muncul dalam mimpi Syakir itu adalah yang pernah ‘pinjam’ Syakir masa kecil dulu.
“Katanya, Syakir pernah janji nak datang melawat dia. Sebab itu dia datang semula. Tak apa, kita ikhtiar. Mudah-mudahan dengan pertolongan Allah, Syakir tak lagi diganggu,” kata Pakcik Yasir.
Selepas dirawat dan dipulihkan semangat, Syakir tidak lagi mengalami mimpi yang aneh-aneh.
Satu pesanan Pakcik Yasir, iaitu tidak meninggalkan solat fardu di samping mengamalkan bacaan ayat Kursi setiap kali sebelum tidur, tidak pernah gagal dilakukan Syakir.
Syakir kini yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat minyak dan galian terkenal di Kuala Lumpur masih lagi mengingati mimpi tersebut meskipun sudah hampir 10 tahun berlalu.
Malah, dia tidak pernah lupa bertanya khabar atau menziarahi Pakcik Yasir sekiranya berkelapangan.
Baca juga: Bullet train pertama di Asia Tenggara, Whoosh kini mulakan perkhidmatan