Setelah berjaya mengembangkan pasaran beberapa model kereta dengan baik, Perodua mahu melangkah lebih jauh dalam dunia kenderaan elektrik dengan membelanjakan kira-kira RM1.32 bilion untuk menjayakan ‘projek elektrifikasi’ mereka.
Memetik dari TheVocket, jumlah pelaburan yang besar itu akan digunakan oleh Perodua untuk memperkenalkan model kereta baharu, menambah baik kemudahan untuk ujian, kilang pembuatan, pusat penyelidikan & pembangunan serta beberapa inisiatif-inisiatif lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad menyatakan bahawa ‘projek elektrifikasi’ memang sudah ada di dalam pelan jangak masa panjang mereka, bagaimanapun Perodua akan fokus untuk membangunkan kenderaan berteknologi hibrid terlebih dahulu.
“Kerajaan menyasarkan menjelang 2030, 15% daripada TIV (Total Industry Volume) adalah EV. Kami menyedari perkara ini dan beberapa perancangan pelan pelan hala tuju EV untuk masa hadapan sedang dibuat. Kami turut berharap akan dapat membuat pengumuman tidak lama lagi dalam sekitar tahun ini,” kata Zainal.
Walaubagaimanapun, visi Perodua untuk landskap kereta di Malaysia sangat berbeza dengan visi kerajaan. Perodua menjangkakan hanya 5% daripada TIV akan menjadi EV sepenuhnya pada 2030, manakala kerajaan pula menjangkakan kira-kira 15%.
Bagi menjayakan kereta elektrik tempatan mampu milik ini, Perodua akan berkerjasama dengan pelbagai pihak industri lain supaya kos pembuatan kenderaan tersebut dapat dikawal dan infrastruktur-infrastruktur EV seperti stesen pengecasan dapat disediakan oleh pihak yang bertauliah serta berpengalaman.
Setakat ini Perodua tidak menjelaskan apakah model hibrid pertama mereka yang bakal diperkenalkan nanti. Namun ramai pakar automotif tempatan mendakwa ianya sebuah Perodua Ativa Hibrid.