Industri perkilangan di negara ini berisiko lumpuh sama sekali sekiranya kerajaan masih kekal untuk tidak beralih ke Pelan Pemulihan Negara Fasa Dua atau merombak nilai ambang dalam Fasa Satu.
Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lain berkata, berpandukan unjuran semasa kes jangkitan Covid-19 yang masih di atas 4,000 kes, pihaknya bimbang kesan lebih parah menimpa pengilang kesan ketidaktentuan jumlah kes direkodkan bagi beralih kepada pelan pemulihan Fasa kedua.
“Ketidaktentuan untuk mencapai ambang jumlah kes di bawah 4,000 dalam Fasa Satu menyebabkan kelembapan pembukaan lebih banyak sektor keperluan, selain kapasiti tenaga kerja yang tidak meningkat, akan menyumbang kepada pembunuhan industri perkilangan.
“Peralihan kepada Fasa kedua segera adalah penting bagi mencegah kesan kekal, selain kerosakan tidak dapat dipulihkan kepada perniagaan terutama membabitkan sektor perkilangan,” katanya dalam kenyataannya, di sini, hari ini.
Soh berkata, pihaknya sudah mencadangkan kepada kerajaan menilai semula tiga penunjuk nilai ambang dalam pelan pemulihan Fasa Satu, demi mempercepatkan anjakan ke Fasa kedua, seterusnya kepada pembukaan lebih banyak sektor bagi meminimumkan kerosakan kepada perniagaan dan ekonomi.
“Seperti pengumuman pada 27 Jun lalu, Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu dilanjutkan sepenuhnya sehinggalah tiga penunjuk ambang dicapai membabitkan, jumlah Covid-19 bawah 4,000 kes, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) sederhana dan populasi disuntik vaksin mencapai 10% menerusi dua dos suntikan,” katanya.
Beliau berkata, tiga penunjuk nilai ambang dalam Fasa Satu berkenaan mengakibatkan keresahan dan panik berpanjangan terhadap masa depan perniagaan, bersandarkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kedudukan Malaysia diletakkan pada posisi 51 daripada 53 ekonomi dunia bagi faktor ketahanan berdepan Covid-19 oleh Bloomberg. Ini secara jelas menunjukkan, kadar kelajuan vaksinasi adalah kunci untuk ekonomi bergerak ke arah normalisasi termasuk mengendurkan larangan serta menghapuskan larangan rentas dan meminimumkan keperluan PKP,” katanya.
Soh ketika mengulas lanjut, berkata kerajaan tidak sepatutnya terlalu fokus untuk menurunkan kadar jangkitan, malah perlu melaksanakan vaksinasi secara massa.
“Secara jelas, kedudukan ranking corot dikeluarkan terhadap negara ini oleh Bloomberg kesan daripada kelembapan vaksinasi, PKP yang masih berkuat kuasa dan penutupan sempadan. Kemunculan varian baharu Covid-19 adalah bukti bahawa proses vaksinasi perlu dipercepatkan bagi pembukaan ekonomi,” katanya.
sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/02/industri-kilang-mahu-kerajaan-segera-rombak-nilai-ambang-fasa-i/