Pesakit bukan Covid-19 dipindahkan ke Hospital Swasta, ini caj yang dikenakan

Pesakit bukan Covid-19 di hospital kerajaan di Lembah Klang akan dipindahkan ke hospital swasta serta-merta.

Ia bagi meningkatkan kapasiti sistem kesihatan awam untuk merawat pesakit wabak itu.

Menurut sepucuk surat kepada Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh, arahan kerajaan itu berkuat kuasa semalam.

“Pemindahan pesakit ini perlu dilakukan segera bermula dari tarikh surat ini dikeluarkan (20 Julai) dan penyediaan Surat Setuju Terima (SST) akan menyusul kemudian,” menurut surat itu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Mohd Shafiq Abdullah.

Menurut surat itu, kos rawatan pesakit yang dipindahkan ini akan ditanggung kerajaan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Semua pesakit yang dipindahkan perlu diberikan rawatan yang sewajarnya, dan kos rawatan adalah sepertimana yang telah ditetapkan dalam garis panduan.

“Namun, adalah menjadi tanggungjawab pihak swasta untuk meneruskan rawatan sehingga selesai.

“Sebarang tuntutan bagi kos rawatan yang melebihi kadar yang ditetapkan dalam garis panduan akan dijelaskan selepas penilaian dan pertimbangan sewajarnya oleh Kementerian Kesihatan,” kata Mohd Shafiq.

Menurut garis panduan penyumberluaran bagi pesakit bukan Covid-19 di hospital swasta, kadar siling yang ditetapkan adalah seperti berikut:

Katil: Wad berkadaran harian yang paling rendah
Caj pesakit (untuk kes pembedahan): RM45,000
Caj pesakit (tidak melibatkan pembedahan): RM25,000
Caj rawatan susulan: RM5,000
Garis panduan itu turut menyatakan, pihak hospital perlu memaklumkan kepada kementerian jika pesakit yang sudah keluar memerlukan rawatan susulan lebih daripada tiga kali.

Ia bagaimanapun tidak termasuk rawatan radioterapi, menurut garis panduan itu.

Hospital swasta juga tidak dibenarkan untuk memindahkan pesakit ke hospital swasta lain tanpa kebenaran kementerian.

Ketika dihubungi, Kuljit berkata anggota APHM akan mematuhi arahan kerajaan.

“Kami gembira untuk membantu dan pada masa ini sudah ramai pesakit yang dipindahkan sejak semalam. Proses sangat lancar.

“Matlamat kami adalah untuk membantu kerajaan menyediakan lebih banyak ruang untuk pesakit Covid-19 di kemudahan mereka,” katanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi Kementerian Kesihatan untuk mengulas perkara ini.

Katil ICU untuk pesakit Covid-19 di hospital swasta penuh

Terdahulu, Kuljit berkata 100 peratus katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital swasta di Lembah Klang telah ditempatkan dengan pesakit Covid-19 Kategori 5.

Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan beberapa langkah untuk menambah baik keadaan hospital di Lembah Klang yang kini menjadi tempat penularan tertinggi wabak Covid-19.

Ia termasuklah mengerahkan 6,5000 kakitangan kesihatan dari negeri lain, membeli lebih banyak bekalan dan bekerjasama dengan hospital swasta untuk mewujudkan lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah.

Satu pasukan petugas khas juga diwujudkan untuk menangani Covid-19 di kawasan Lembah Klang Besar (Greater Klang Valley). Ia diketuai Timbalan Ketua Pengarah (kesihatan awam) Kementerian Kesihatan, Dr Chong Chee Keong.

Lembah Klang juga diberi keutamaan dalam vaksinasi menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti yang menyasarkan untuk memberi vaksin kepada semua penduduk barusia 18 tahun ke atas yang mendaftar, paling lewat pada 1 Ogos.

Mereka yang belum mendapat vaksin selepas tarikh itu, termasuk warga asing tanpa dokumen, boleh terus ke pusat pemberian vaksin terpilih tanpa membuat temu janji.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/583940