Pesara guru kantoi! Sanggup komplot jual barang kemas disamun anak perempuan

Seorang pesara guru wanita sanggup bersekongkol dengan anak perempuannya dan teman lelaki untuk menjual barang kemas bernilai lebih RM50,000 yang dicuri dari beberapa kedai emas, termasuk di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamad, menyatakan bahawa kegiatan tiga suspek berusia antara 61 hingga 26 tahun itu terbongkar selepas mereka ditahan oleh Polis Selangor pada 5 Oktober lalu.

Beliau menjelaskan, modus operandi kumpulan ini melibatkan suspek wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu pengurus.

Suspek akan menyamar sebagai pelanggan di kedai emas dengan memakai cermin mata hitam sebelum melarikan barang kemas.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan kegiatan ini sejak Julai lalu membabitkan tujuh kes di tiga buah negeri termasuk Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Hasil siasatan terhadap pasangan kekasih itu mereka mengaku melakukan jenayah di tiga buah kedai emas di daerah ini iaitu di Masjid Tanah, Alor Gajah dan Pulau Sebang selain Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Kesemua mereka telah direman dan Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda.

Baca juga: Tular temubual lama Erra Fazira, dipuji tak aibkan bekas suami- “Aleesya berhak bahagia”