Seorang pesara tentera dari Pasir Putih mendakwa memiliki sekeping syiling lama berusia 242 tahun yang nilainya dikatakan boleh mencecah AS$5 juta atau RM16 juta jika dilelong di pasaran Amerika Syarikat.
Wang syiling lama berukuran 3.8 sentimeter (sm) tertera perkataan ‘Vtraque Vnum’ itu tidak dapat dipastikan nilai sebenar mata wangnya tetapi difahamkan, ia antara paling sukar ditemui dan unik berbanding syiling lain.
Ini kerana, wang syiling seberat 0.005 gram itu menampilkan imej dua planet berkembar, mahkota dan dua menara, membuktikan syiling berkenaan mungkin dihasilkan di sebuah negara di Eropah.

Abidin Ghani, 56, dari Taman Sri Aman, di sini, berkata, berdasarkan fakta sejarah, syiling lama termahal di dunia adalah American Silver Dollar keluaran 1794 dijual pada harga RM23.5 juta dalam acara lelongan, tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, wang syiling lama miliknya adalah 24 tahun lebih awal jika dibandingkan American Silver Dollar itu.
“Saya pernah membuat pengesahan dengan beberapa pakar mata wang termasuk pengumpul barangan antik sebelum mereka mengesahkan, wang syiling berkenaan adalah asli serta pernah diperdagangkan di Eropah.
“Malah, jika dibandingkan dengan 90 keping syiling lama lain yang berada di dalam simpanan saya, ia paling tua, selain kualitinya masih dalam keadaan baik dan sempurna,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Selain syiling berkenaan, bapa kepada lima anak itu turut memiliki wang syiling lama satu sen berukuran 2.7sm yang tertera perkataan Kerajaan Terengganu Berhad yang ditulis dalam tulisan Jawi.
Menurut Abidin, selain syiling, dia turut memiliki kira-kira 20 keping wang kertas lama termasuk wang kertas yang dikeluarkan pada masa pemerintahan Negeri-negeri Bersekutu, selain senaskhah al-Quran berukuran panjang 2.9 sm dan lebar 2.2 sm.
Katanya, semua wang syiling dan wang kertas lama termasuk al-Quran kecil itu diwarisi daripada arwah ayahnya, Ghani Johari.
“Saya difahamkan, arwah ayah banyak merantau hingga ke Tanah Jawa termasuk beberapa negara Asean lain bagi mengumpul duit syiling lama itu dan hobinya itu diteruskan saya sehingga kini.
“Sepanjang pembabitan saya dalam hobi ini selama 40 tahun, saya pernah didatangi beberapa lelaki yang berhasrat meminjam beberapa keping syiling lama untuk tujuan memuja nombor ekor, namun saya tidak melayan permintaan mereka kerana perbuatan itu syirik,” katanya.
Paling menakutkan, tiga tahun lalu, Abidin mendakwa pernah diganggu makhluk halus sehingga menyukarkan dia sekeluarga tidur sebaik memperoleh sekeping wang syiling lama daripada seorang pengumpul barangan antik dari Indonesia.
Baca juga: Ikan rebus versi Thailand memang ‘best’ sangat, tapi jangan lupa letak daun ni