Pesawat ringan terhempas, seorang lelaki maut dan seorang tercedera. Pesawat tersebut didakwa terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng, Perak.
Dua mangsa kejadian pesawat ringan terhempas itu membabitkan jurulatih penerbangan sebuah sekolah penerbangan berdekatan tempat kejadian lapor Harian Metro.
Pesawat tersebut dikatakan terbang terlalu rendah serta melanggar tiang lampu berhampiran rumah pam Sungai Rokam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak bersebelahan sebuah kediaman penduduk.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian 8.10 malam itu, jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, Semenyih, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa berusia 62 tahun cedera.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan pesawat Piper PA 28 bernombor pendaftaran 9M-BAA berkenaan berlepas dari sekolah penerbangan terbabit lebih awal.
“Kita percaya mereka terbang lebih awal dari sebelum kejadian itu namun belum dapat dipastikan sama ada mereka sedang menjalani latihan atau sebaliknya.
“Untuk mengatakan kejadian disebabkan faktor cuaca, keadaan cuaca ketika polis sampai di tempat kejadian adalah baik. Jadi, punca masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.
Mior Faridalathrash berkata, kedua-dua mangsa berkenaan berjaya dikeluarkan dari bangkai pesawat dan mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada 9.24 malam.
Beliau berkata, pihaknya sudah meminta pihak syarikat yang mengendalikan penerbangan dua mangsa itu supaya menghubungi waris masing-masing.
Katanya, siasatan mengenai punca sebenar kejadian diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang difahamkan sudah memulakan siasatan semalam.
Baca Juga: Filem penuh Mat Kilau dirompak, ditayang secara haram di Telegram