Pesawat TUDM terhempas di Butterworth, anggota tentera terkorban

Tentera Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan kemalangan melibatkan pesawat pejuang Hawk miliknya sebentar tadi.

Seperti yang dipetik Malaysiakini, menurut kenyataan yang dikeluarkan Markas Tentera Udara, kejadian berlaku pad lebih kurang jam 10.07 malam di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth di Pulau Pinang.

“Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini.

“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita tidak sahih,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memaklumkan seorang anggota terkorban manakala seorang lagi cedera akibat insiden itu.

Hishammuddin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Panglima TUDM Ackbal Abdul samad.

“TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang meninggal dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini,” katanya di Twitter.

Katanya lagi, anggota yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan segera dan pihak kementerian telah diarah untuk menyalurkan sebarang keperluan kepada kedua-dua anggota yang terlibat.