Petugas media balik dari Sabah dinasihat buat ujian saringan, kuarantin wajib

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mengingatkan semua petugas media supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mematuhi segala amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ia susulan perkembangan pandemik Covid-19 terbaharu di mana seorang kakitangan News Straits Times Press (NSTP) Berhad sah telah dijangkiti wabak berbahaya itu.

Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah menasihatkan agar petugas media yang baru pulang dari kawasan yang mempunyai gejala Covid-19, untuk segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib.

“Dengan perkembangan dan statistik penularan yang semakin meningkat, NUJM ingin mengingatkan setiap petugas media supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika membuat liputan, selain menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga kebersihan
diri.

“Ingat, bahawa kita semua adalah petugas barisan hadapan dan setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menjaga negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini, Media Prima melaporkan bahawa seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19 ketika bertugas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu.

Kakitangan tersebut juga dilaporkan telah menjalani kuarantin sukarela di rumah, selain dimaklumkan tidak pernah berada di mana-mana premis Media Prima sejak pulang dari Sabah pada 29 September lalu.