Pewaris L’Oréal merupakan seorang wanita, orang ke-12 terkaya di dunia dengan memiliki aset bernilai RM459.5 bilion.
Françoise Bettencourt Meyers menjadi wanita pertama yang mengumpul kekayaan AS$100 bilion (kira-kira RM459.5 bilion), menurut ranking orang terkaya di dunia.
BBC melaporkan, kekayaan Bettencourt Meyers, 70, yang dicatatkan pada Indeks Bilionair Bloomberg itu menjadikan wanita itu, orang ke-12 terkaya di dunia.
Empayar kecantikan Perancis yang diasaskan oleh datuknya berada di landasan untuk prestasi terbaik di pasaran saham dalam beberapa dekad.
Saham L’Oréal meningkat ke paras tertinggi di Paris, pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, nilai harta dimiliki wanita itu masih jauh bilionair Perancis, Bernard Arnault, yang berada di tempat kedua dalam senarai itu dengan nilai bersih AS$179 bilion (kira-kira RM822.5 bilion).
Arnault ialah pengasas LVMH, kumpulan mewah terbesar di dunia, yang memiliki portfolio jenama mewah termasuk Fendi dan Louis Vuitton.
Bettencourt Meyers ialah naib pengerusi lembaga pengarah Kumpulan L’Oréal. Beliau dan keluarganya adalah pemegang saham tunggal terbesar L’Oréal dengan kepentingan sekitar 35 peratus.
Beliau menjadi pewaris L’Oréal selepas ibunya, Liliane Bettencourt, meninggal dunia pada 2017.
Liliane yang sebelumnya dinobatkan sebagai orang terkaya Perancis, mengekalkan hubungan rapat dengan pemimpin Perancis dan menerima perhatian media.
Liliane juga pernah dalam pergaduhan dengan Bettencourt Meyers yang juga anak tunggalnya.
Pada 2011, mahkamah Perancis memutuskan bahawa Liliane mempunyai demensia, dan memberikan Bettencourt Meyers kawalan ke atas kekayaan dan pendapatannya.
Sementara seorang lagi ahli keluarga ditugaskan untuk menjaga kesihatan dan fizikal Liliane.
Bettencourt Meyers dikatakan lebih mengutamakan privasi daripada menghadiri acara sosial yang sering dikunjungi oleh kebanyakan orang kaya dunia.
“Beliau benar-benar tinggal di dalam kepompongnya sendiri. Beliau hidup terutamanya dalam lingkungan keluarganya sendiri,” kata Tom Sancton, yang mengarang buku The Bettencourt Affair, lapor Harian Metro.
Baca juga: Alif Satar terkejut ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ 3,000 orang, siap joging berkain pelikat lagi